BELURAN: Seorang warga emas ditemui maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Jalan Beluran-Telupid, pagi tadi.
Mangsa, seorang lelaki berusia 80 tahun itu ditemui telah terhimpit di dalam kenderaannya oleh pekerja Lebuhraya Pan Borneo yang kebetulan melalui lokasi berkenaan kira-kira jam 10 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, mangsa dipercayai telah meninggal dunia melebihi tempoh 24 jam sebelum mayatnya dijumpai. Kenderaan mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam sembilan meter.
“Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” jelasnya.
Pihak polis menyeru mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis Beluran bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Asdar Miktar di talian 011-15481071 atau menghubungi Balai Polis Beluran di talian 089-51122.