Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah : Kerajaan komited bina Pusat Pemulihan Kebajikan di Putatan

Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kekal komited untuk merealisasikan pembinaan Pusat Pemulihan Kebajikan di daerah Putatan sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) sentiasa memberi perhatian terhadap penyediaan infrastruktur yang kondusif bagi tujuan pemulihan dan perlindungan golongan sasar.

Beliau berkata, cadangan pembinaan pusat berkenaan masih diteruskan dengan Pejabat Kebajikan Putatan telah mengemukakan permohonan tapak baharu kepada agensi berkaitan.

“Tapak yang dicadangkan sebelum ini didapati tidak sesuai kerana memerlukan kos penimbusan tanah yang tinggi, justeru permohonan bagi mendapatkan tapak baharu telah dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (Tanjung Keramat-GRS) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Julita berkata, kerajaan tetap komited memastikan kemudahan kebajikan yang lebih lengkap dapat diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat di daerah Putatan.

Mengulas soalan tambahan berhubung pelan tindakan interim sementara projek itu belum dapat dilaksanakan, beliau berkata kementerian menerusi JPKA terus menjalankan pelbagai program kebajikan secara berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Memang kementerian melalui jabatan mempunyai program-program yang berterusan untuk membantu rakyat.

“Jika terdapat keperluan yang lebih spesifik, pihak berkaitan boleh datang berunding dan mendapatkan khidmat nasihat daripada kementerian,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun pembinaan pusat berkenaan masih belum dapat diteruskan, usaha membantu golongan sasar tidak terjejas dan akan terus dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan sedia ada.

LEAVE A RESPONSE