Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah: ADUN Bugaya kemuka lima jaminan bagi perkukuh RUU pewarisan orang Islam

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Jamil Hamzah menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026, namun menggesa kerajaan memberi lima jaminan bagi memastikan undang-undang itu kukuh dari segi perlembagaan, jelas pelaksanaannya dan tidak menimbulkan pertikaian di mahkamah.

Ketika membahaskan RUU itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini, beliau berkata harta pusaka yang tertangguh bukan sekadar melibatkan tanah atau wang, sebaliknya menjejaskan masa depan sesebuah keluarga.

“Saya menyokong matlamat RUU ini. Namun sokongan saya bergantung kepada jaminan bahawa ia sah apabila dicabar, jelas apabila ditafsirkan dan berkesan apabila dilaksanakan.

“Sebab itu saya mengemukakan lima jaminan waris Sabah. Ini bukan syarat politik, tetapi perlindungan supaya RUU ini tidak gagal di mahkamah, tersangkut di kaunter atau menzalimi waris,” katanya.

Jamil berkata, jaminan pertama ialah memastikan RUU itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan sempadan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Beliau berkata kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih terperinci peranan Mahkamah Syariah dalam menentukan hak waris mengikut hukum syarak, manakala urusan pentadbiran seperti probet dan surat kuasa mentadbir kekal tertakluk kepada undang-undang Persekutuan.

Katanya, penjelasan itu penting bagi mengelakkan keputusan Mahkamah Syariah berdepan cabaran apabila melibatkan urusan di bank, pejabat tanah atau institusi kewangan.

Bagi jaminan kedua, beliau meminta kerajaan memperjelaskan skop pemakaian enakmen itu, khususnya definisi “berasal dari Sabah” dan pelaksanaannya terhadap harta yang berada di luar negeri.

Menurutnya, beberapa peruntukan yang menggunakan istilah “mana-mana orang” juga perlu diperhalusi supaya tidak melibatkan individu bukan Islam yang berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam jaminan ketiga, Jamil mencadangkan diwujudkan satu sistem pentadbiran bersepadu bagi memudahkan waris menguruskan pembahagian pusaka selepas memperoleh perintah Mahkamah Syariah.

Beliau mencadangkan satu pintu masuk, satu nombor rujukan dan satu daftar pusaka Islam Sabah yang diselaraskan antara Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi, Pejabat Tanah, Majlis Ugama Islam Sabah, institusi kewangan dan agensi berkaitan.

Katanya, kerajaan juga perlu menetapkan sasaran penyelesaian dalam tempoh 180 hari bagi kes pusaka yang lengkap dan tidak dipertikaikan.

Menyentuh jaminan keempat, beliau menegaskan perlunya perlindungan lebih menyeluruh kepada golongan waris yang mudah terdedah kepada tekanan, termasuk balu, anak perempuan, kanak-kanak dan individu kurang berupaya.

Beliau berkata setiap persetujuan melepaskan hak hendaklah dibuat secara sukarela, direkodkan di hadapan hakim serta disertakan pendedahan penuh mengenai nilai aset bagi mengelakkan sebarang unsur paksaan.

Selain itu, beliau mencadangkan mekanisme pembekuan, pengesanan, restitusi dan pampasan diberi keutamaan sekiranya berlaku pelupusan harta secara tidak sah.

Bagi jaminan kelima, Jamil menggesa kerajaan menyediakan perancangan pelaksanaan yang jelas termasuk aspek kewangan, sumber manusia dan kemudahan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan perlu menjelaskan jumlah jawatan baharu, kos pelaksanaan serta membentangkan data kes tertunggak sebagai penanda aras bagi mengukur keberkesanan enakmen itu.

“Di kawasan seperti Bugaya dan Semporna, masih ramai waris tinggal di kampung air atau pulau yang berdepan kekangan internet dan kos perjalanan.

“Kerajaan perlu menyediakan kaunter bersepadu, mahkamah bergerak, prosiding secara dalam talian serta pengecualian fi kepada keluarga miskin supaya undang-undang ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan laporan tahunan mengenai pelaksanaan enakmen dibentangkan kepada DUN, termasuk jumlah permohonan, tempoh penyelesaian dan nilai harta yang berjaya diagihkan, selain semakan semula undang-undang itu selepas dua tahun pelaksanaannya.

LEAVE A RESPONSE