DUN Sabah : Pelbagai strategi dilaksanakan bagi wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan – Nizam
Read Time:1 Minute, 26 Second
KOTA KINABALU : Kerajaan melaksanakan pelbagai strategi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh meningkatkan pendapatan khususnya untuk rakyat dalam golongan B40 ke bawah selain belia yang masih belum mendapat pekerjaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ia termasuklah meningkatkan kebolehpasaran belia melalui latihan kemahiran jangka pendek (Home Based) dan jangka panjang yang memfokuskan kepada sektor pelancongan, pertanian dan perindustrian.
“Selain itu, Kerajaan turut memperkasa keusahawanan belia menyediakan bantuan geran permulaan perniagaan, latihan keusahawanan, bimbingan mentor dan pemantauan kepada usahawan belia agar mereka mampu menjana pendapatan secara mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.
“Meluaskan akses pasaran kepada usahawan melalui karnival, ekspo, program promosi dan penyertaan dalam pelbagai platform pemasaran bagi membantu usahawan belia memasarkan produk dan perkhidmatan mereka, sekali gus meningkatkan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan-GRS) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.
Nizam berkata, Kerajaan turut memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi latihan dan sektor swasta bagi memperluaskan peluang latihan serta pekerjaan seperti Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dan PERKESO.
Selain daripada program-program yang dilaksanakan oleh Kementeriannya, Nizam percaya kementerian-kementerian lain, agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada di Sabah turut mempunyai strategi masing-masing untuk melaksanakan program-program kemahiran yang turut melibatkan golongan belia B40 agat mereka mendapat pekerjaan.
“Pihak kerajaan dan swasta telah mencipta banyak pekerjaan dalam sektor industri untuk memberi peluang pekerjaan kepada belia B40.
“Industri-industri tersebut adalah seperti industri minyak sawit dan pemprosesan makanan, industri pelancongan dan perkhidmatan, industri pembinaan dan infrastruktur, industri perkapalan, logistik dan pelabuhan, industri akuakultur dan perikanan,industri digital dan ekonomi kreatif dan sebagainya,” katanya.






