Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah : Jalan Kampung Buang Sayang rosak teruk, penduduk berdepan risiko keselamatan

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Keadaan jalan raya yang rosak teruk di Kampung Buang Sayang, Papar, terus menimbulkan kebimbangan apabila didakwa mengancam keselamatan penduduk selain menjejaskan kelancaran pergerakan harian masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra, berkata isu jalan raya merupakan antara aduan paling tinggi, kronik dan kerap diterima daripada penduduk di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, keadaan jalan kampung kini amat menyedihkan apabila dipenuhi lubang besar, permukaan tidak rata serta struktur tar yang telah pecah sepenuhnya di beberapa lokasi.

“Apabila hujan lebat, jalan yang rosak bertukar menjadi laluan berlumpur sehingga menyukarkan pergerakan penduduk dan meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan 2026 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini pada Isnin.

Saifuddin berkata, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan kepada kenderaan yang digunakan penduduk setiap hari, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya murid sekolah yang menaiki bas setiap hari.

Katanya, laluan yang rosak juga boleh melambatkan pergerakan kenderaan kecemasan seperti ambulans dan jentera bomba sekiranya berlaku insiden yang memerlukan tindakan segera.

“Risiko keselamatan di sini amat tinggi. Bukan sahaja mengakibatkan kerosakan kenderaan harian penduduk, malah membahayakan nyawa anak-anak kita yang menaiki bas sekolah serta menyukarkan laluan kecemasan,” katanya.

Mengulas punca kelewatan kerja pembaikan, beliau berkata kekurangan peruntukan yang diterima pihak berkuasa tempatan menjadi antara faktor utama yang menyebabkan kerja naik taraf tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Selain itu, beliau menjelaskan terdapat kekeliruan mengenai status jalan yang berada di bawah seliaan Majlis Daerah Papar dan Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan, sekali gus menjejaskan tindakan pembaikan apabila berlaku kerosakan.

Menurutnya, Majlis Daerah tidak mempunyai kuasa menggunakan dana tempatan untuk membaiki Jalan JKR Persekutuan, manakala proses mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan pula mengambil masa yang panjang sehingga menyebabkan jalan rosak terus dibiarkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian berkaitan menjalankan audit fizikal terhadap semua jalan yang rosak di Parlimen Papar bagi mengenal pasti tahap kerosakan serta jumlah sebenar jalan yang memerlukan penurapan semula.

Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan penambahan peruntukan khusus kepada DUN Pantai Manis bagi membolehkan kerja menaik taraf jalan kampung, pembaikan jalan yang runtuh serta penyelenggaraan berkala dilaksanakan secara lebih sistematik demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

LEAVE A RESPONSE