Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah: Gangguan air jejas 25,000 penduduk Putatan, JANS diminta atasi segera

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan dan tekanan air rendah yang menjejaskan sehingga 25,000 penduduk di Putatan perlu ditangani segera, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya.

Beliau berkata, masalah sistem agihan air itu turut menjejaskan beberapa lokaliti di kawasannya, termasuk Kampung Meruntum, Kampung Muhibbah, Kampung Contoh, Taman Pantai Lok Kawi, Pasir Putih dan kawasan sekitarnya, terutama pada waktu puncak.

Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan tambahan RM201 juta yang diterima JANS sebelum ini dapat diagihkan secara bersasar bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Ini adalah isu lapuk yang amat menyusahkan kehidupan harian penduduk.

“Dianggarkan antara 10,000 hingga 25,000 penduduk di sekitar daerah Putatan terkesan teruk apabila sistem agihan air gagal berfungsi, terutamanya pada waktu puncak. Kita menyedari bahawa Kerajaan telah melaksanakan langkah jangka pendek seperti perluasan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui.

“Walau bagaimanapun, isu penstabilan tekanan dalam rangkaian paip agihan di Putatan masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Justeru, dengan adanya peruntukan tambahan RM201 juta ini, saya menggesa Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta Jabatan Air Negeri Sabah untuk memastikan dana ini dibelanjakan secara bersasar bagi kawasan Putatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan 2026 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, pada Isnin.

Dalam perbahasan itu, beliau turut menggesa kerajaan menggantikan sistem perpaipan yang uzur dan usang, menyelenggara sistem pam penggalak serta menetapkan garis masa yang jelas bagi pemulihan bekalan air di Tanjung Keramat.

“Saya memohon JANS bersikap lebih proaktif dan sentiasa bersiap siaga dalam menangani isu air yang menjadi keluhan utama rakyat di Tanjung Keramat dan seluruh daerah Putatan.

“JANS mesti bertindak pantas untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima. Pastikan pegawai bertugas di peringkat daerah sentiasa mudah dihubungi dan bersedia turun padang apabila krisis berlaku.

“Rakyat mahu melihat peruntukan ratusan juta yang kita luluskan ini diterjemahkan kepada hasil kerja yang efisien, cepat, dan berimpak nyata di lapangan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE