Read Time:1 Minute, 20 Second
KINABATANGAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham buaya ketika mencuci bot di kawasan sungai di Kampung Batu Putih, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.31 petang, mangsa, Rusli Mardin, 57, dipercayai diserang reptilia itu sebelum hilang dari pandangan.
Menurut saksi yang juga anak mangsa, kejadian berlaku ketika mereka sedang mencuci bot di kawasan sungai berkenaan.
Beliau memaklumkan melihat ayahnya dibaham seekor buaya sebelum mangsa tenggelam dan hilang dari pandangan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 7.10 malam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di permukaan sungai menggunakan kaedah water surface searching.
“Bagaimanapun, keadaan di lokasi yang semakin gelap menyukarkan operasi pencarian menyebabkan SAR ditangguhkan pada jam 8.45 malam dan disambung semula keesokan harinya.
“Pada hari kedua operasi, bomba menerima maklumat bahawa mangsa ditemukan orang awam pada jam 4.45 pagi, kira-kira 500 meter ke hilir dari lokasi mangsa dipercayai dibaham buaya.
“Pemeriksaan mendapati anggota badan mangsa masih lengkap, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan leher sebelah kanan.
“Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mayat mangsa dari tebing sungai ke rumah mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut disertai anggota PDRM dan RELA itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.






