Read Time:2 Minute, 2 Second
KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak kenyataan Timbalan Ketua Penerangan Pusat Parti Warisan, Justin Wong, yang menuduh Kerajaan Negeri cuba ‘menumpang kredit’ atas keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40 peratus hasil bersih Sabah.
Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Rafie Datuk Robert berkata, tuduhan tersebut tidak berasas dan menunjukkan Warisan terus menunggang isu untuk kepentingan politik semata-mata tanpa memahami perjuangan sebenar menegakkan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Warisan sepatutnya sedar bahawa perjuangan menuntut hak Sabah tidak boleh dilakukan secara populis atau emosional.
“Ia mesti berasaskan undang-undang, rundingan diplomatik dan keazaman politik yang konsisten, bukan sekadar berteriak dari luar,” katanya dalam kenyataan di sini
Rafie menegaskan, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengambil pendekatan matang dan bertanggungjawab dalam memperjuangkan hak kewangan negeri, termasuk isu 40 peratus hasil bersih melalui saluran sah serta berpaksikan perlembagaan.
Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak pernah menolak perjuangan Sabah Law Society (SLS), malah kedua-dua pihak berkongsi matlamat sama iaitu mempertahankan hak Sabah, meskipun melalui pendekatan berbeza.
“Perbezaan cara bukan tanda pertentangan, sebaliknya pelengkap kepada usaha bersama untuk hasil terbaik bagi rakyat,” ujarnya.
Mengulas dakwaan Warisan kononnya kerajaan negeri ‘berubah pendirian’, Rafie menegaskan dasar kerajaan sentiasa berpaksikan kepada realiti semasa dan perkembangan undang-undang.
“Pendekatan kerajaan bukan flip-flop, tetapi fleksibel dan berprinsip. Bila perlu berunding, kita berunding. Bila perlu bertindak tegas, kita bertindak. Itu kepimpinan berasaskan realiti, bukan retorik politik,” katanya.
Rafie turut mengingatkan bahawa Warisan pernah mentadbir negeri selama lebih dua tahun, namun gagal mencapai sebarang kemajuan bermakna dalam isu 40 peratus hasil bersih atau pelaksanaan MA63.
“Lebih dua tahun memerintah, Warisan tidak menunjukkan hasil konkrit. Sekarang bila kerajaan lain bawa kemajuan, mereka pula cuba menunggang isu dan menafikan usaha orang lain. Itu sikap tidak bertanggungjawab,” tegas beliau, yang juga Ketua Penyelaras Pemuda GRS Bahagian Keningau.
Tambahnya, perjuangan GRS bukan untuk mencari nama atau kredit politik, tetapi bagi memastikan keputusan mahkamah diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
“GRS tidak menunggang kemenangan sesiapa. Apa yang penting ialah pelaksanaan dan manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Menurut Rafie, Kerajaan Negeri kini meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan keputusan mahkamah berjalan lancar, termasuk menyemak semula formula pembahagian hasil dan menuntut bayaran tertunggak yang sepatutnya diterima Sabah.
“Rakyat mahukan hasil, bukan pertelingkahan. GRS kekal komited memperjuangkan hak Sabah secara berhemah, berdasarkan fakta dan undang-undang. Warisan boleh terus bermain politik — tetapi Kerajaan Negeri bekerja untuk rakyat,” tegasnya. – SABAH MEDIA