Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Jentera GRS Klias siap siaga hadapi PRN17, sedia pertahan kerusi- Isnin

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Klias Datuk Isnin Aliasneh yakin jentera parti di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Beliau berkata, dorongan kuat yang diberikan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor pada pelancaran jentera parti GRS pada Ahad, akan dapat membantu memperkukuh kekuatan parti dan memastikan kesiapsiagaan berada di tahap tertinggi.

“Presiden parti menekankan soal perpaduan dan kesiapsiagaan. Amanat itu jelas, kita mesti bergerak bersama, tidak kira siapa calon, asalkan parti menang,” katanya.

Isnin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias berkata, GRS dikawasan itu mengambil pendekatan proaktif dengan memastikan semua jentera, termasuk bahagian wanita, pemuda dan beliawanis, berada dalam keadaan siap sepenuhnya sebelum tarikh PRN diumumkan.

“Di Klias, kita sudah lama bersiap. Kita tidak tunggu bila pilihan raya baru bergerak. Kita anggap setiap hari adalah hari kerja untuk parti,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan GRS bukan hanya terletak pada struktur organisasi, tetapi juga pada semangat dan kesetiaan akar umbi yang terus utuh menyokong perjuangan gabungan itu.

“Apabila semua jentera bergerak seia sekata, kejayaan pasti menyusul. Inilah semangat yang kita pupuk di Klias iaitu disiplin, komitmen dan kerja berpasukan,” katanya.

Isnin turut melahirkan keyakinan bahawa sambutan luar biasa lebih 20,000 penyokong pada majlis amanat Presiden menjadi isyarat jelas bahawa rakyat masih mempercayai kepimpinan GRS.

“Kehadiran ribuan penyokong ini bukan kebetulan. Ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap GRS masih kukuh. Dengan kekuatan ini, kita yakin mampu pertahankan Klias dan terus maju di seluruh negeri,” katanya.

Dalam masa sama, Isnin mengesahkan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Klias pada pilihan raya kali ini.

“Ya, saya akan bertanding dan pertahankan Klias. Semua sudah siap termasuk bahan kempen. Kita tunggu pengumuman rasmi sebelum bergerak ke fasa seterusnya,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa kemenangan tidak datang dengan mudah, tetapi hasil daripada persiapan rapi, kesatuan dan kerja keras yang berterusan.

“Kita mesti terus bekerja tanpa henti. Klias adalah contoh bagaimana jentera bersiap dari awal, dan inilah kunci kekuatan sebenar GRS,” tegasnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE