Read Time:1 Minute, 10 Second
PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menzahirkan rasa bangga apabila anak jati Papar, Gelvia Vanessa Jenny, dipilih sebagai Selebriti Khas Shopee sempena Shopee Seller Summit 2026.
Beliau berkata, pemilihan Gelvia yang juga Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 menjadi antara momen yang paling menarik perhatian ketika menghadiri program berkenaan di Putrajaya pada Khamis.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Shopee Malaysia atas pengiktirafan yang diberikan kepada Gelvia, sekali gus membuktikan bakat dan potensi anak Sabah terus mendapat perhatian di peringkat nasional.
Gelvia, 24, berasal dari Kampung Gana, Papar dan merupakan anak ketiga daripada lapan beradik. Beliau kini sedang mengikuti pengajian tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Malaya.
Menurut Armizan, pencapaian Gelvia membuktikan kecemerlangan seseorang bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, malah turut terserlah menerusi keperibadian, keyakinan diri serta penghargaan terhadap warisan budaya.
Katanya, pertandingan Unduk Ngadau bukan sekadar mengangkat kecantikan, sebaliknya menjadi platform melahirkan wanita Sabah yang berilmu, bijaksana, berpekerti mulia serta mampu menjadi duta budaya dan warisan negeri.
“Nilai-nilai inilah yang menjadikan Gelvia sebagai inspirasi kepada generasi muda. Saya berharap lebih ramai anak Sabah terus diberi peluang mengetengahkan bakat dan potensi mereka di pentas nasional,” katanya.
Gelvia dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada sambutan Pesta Kaamatan tahun ini sebelum sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila dipilih sebagai Selebriti Khas Shopee bagi Shopee Seller Summit 2026.






