KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini meluangkan masa bertemu dengan Sul Aidil Sudi, salah seorang peserta dari Sabah yang menyertai kontinjen Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza awal bulan ini.
Hajiji memuji keberanian Sul selepas beliau menceritakan pengalamannya berdepan detik cemas apabila GSF dipintas oleh pasukan tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
“Saya bersyukur kamu dan rakan-rakan selamat kembali,” kata Hajiji kepada Sul yang berasal dari Tawau ketika pertemuan mereka semasa makan tengah hari di Sri Gaya hari ini.
Turut hadir bersama Sul ialah Khairul Azlee Mohd Yunus dari Sandakan, yang merupakan sebahagian daripada kru darat GSF Malaysia di Sepanyol.
Seorang lagi peserta dari Sabah, Zizi Kirana, tidak dapat menghadiri pertemuan tersebut kerana mempunyai komitmen awal yang lain.