Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS urus Sabah seperti rumah sendiri, Joachim seru teruskan mandat di bawah SMJ

Read Time:2 Minute, 52 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS)Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” bukan sekadar slogan, tetapi falsafah pentadbiran yang mencerminkan cara kerajaan negeri mengurus Sabah seperti rumah sendiri, memastikan ia selesa, selamat dan harmoni untuk semua rakyat.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam Forum Khas GRS: Rumah Kita, Kita Jaga sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri ke-17 GRS di Sabah International Convention Centre di sini hari ini.

Menurut beliau, semangat menjaga rumah sendiri itulah yang menjadi asas kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), satu dasar pembangunan inklusif dan komprehensif yang dibangunkan daripada rakyat Sabah untuk rakyat Sabah.

Dr. Joachim yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menjelaskan, hala tuju SMJ digerakkan berasaskan tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan inklusif, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Dasar kerajaan negeri hari ini berpaksikan semangat mengurus sumber dan hasil negeri secara bertanggungjawab agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat di seluruh Sabah.

“Pelbagai pencapaian signifikan yang dicapai di bawah pentadbiran GRS dalam tempoh lima tahun ini. Antara kejayaan terbesar ialah peningkatan hasil kutipan tertinggi hampir RM7 bilion bagi tahun 2023 hingga 2024 dan saya percaya 2025 pendapatan kita akan lebih RM7 bilion lagi.

“Rizab kewangan negeri juga meningkat daripada RM2.9 bilion pada 2020 kepada lebih RM8 bilion pada 2025. Menurut beliau, pencapaian ini hasil pengurusan kewangan negeri yang cekap dan bijak oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Kewangan,” katanya.

Tambahnya, selain itu, Sabah turut mencatat kejayaan dalam menarik pelabur asing dengan jumlah pelaburan mencecah RM35 bilion dalam tempoh lima tahun. Beberapa kilang dan industri baharu kini telah dibangunkan di negeri ini, menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi ekonomi Sabah walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 sebelum ini.

Dr. Joachim turut menegaskan bahawa apabila hasil negeri meningkat, kerajaan GRS tidak lupa mengembalikannya kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan pendidikan.

“Hampir RM1.3 bilion telah diperuntukkan untuk sektor pendidikan dan pembangunan modal insan melalui 16 inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Peruntukan biasiswa juga meningkat kepada RM138 juta setahun berbanding hanya sekitar RM50 juta sebelum ini, menjadikan Sabah antara negeri yang memberi perhatian besar kepada pelaburan dalam pendidikan anak muda.

“Kerajaan negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah untuk membantu pelajar daripada keluarga B40 yang tidak layak menerima biasiswa, namun benar-benar memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian.

“Dalam aspek kebajikan sosial pula, program Rumah Mesra SMJ diperkenalkan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Setakat ini, hampir 7,500 unit rumah telah disiapkan sejak 2022. Pada peringkat awal, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan 20 unit, kemudian dinaikkan kepada 40 unit dan dijangka meningkat kepada 50 unit setiap kawasan sekiranya GRS terus diberi mandat selepas PRN-17,” katanya.

Selain itu, program Sentuhan Kasih Rakyat juga diteruskan dengan pemberian bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada kira-kira 100,000 penerima di seluruh Sabah. Menurut Dr. Joachim, semua inisiatif ini membuktikan bahawa kerajaan GRS benar-benar mengutamakan kesejahteraan rakyat dan berusaha memastikan setiap isi rumah mendapat manfaat daripada hasil negeri.

Beliau menyeru rakyat Sabah agar terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan GRS untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di bawah kerangka SMJ.

Katanya, semua kejayaan ini membuktikan bahawa kerajaan sedia ada mempunyai keupayaan dan visi jelas dalam mengurus negeri.

“Inilah rumah kita. Kalau kita mahu rumah ini terus maju, kita mesti kekalkan kerajaan yang tahu menjaganya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE