Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

ESSCOM siap siaga hadapi PRN Sabah

Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh Ahmad Husnayan

LAHAD DATU: Kesiapsiagaan pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) diperkukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terjamin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata tumpuan kini diberikan kepada langkah memperkukuh kawalan keselamatan dan meningkatkan keupayaan operasi di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Menurutnya, ESSCOM kini berada dalam Fasa 2 (2024–2028) yang menumpukan aspek pengukuhan keselamatan, kesiapsiagaan operasi serta pemantauan di kawasan berisiko tinggi.

“Kawasan pantai timur Sabah kekal terdedah kepada ancaman militan dan jenayah rentas sempadan.

“Justeru, kerjasama antara semua agensi penguatkuasaan mesti diperkukuh bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin, terutama menjelang PRN Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja di Pejabat ESSCOM di sini, hari ini.

Lawatan itu dihadiri kira-kira 50 pegawai dan anggota pelbagai agensi keselamatan termasuk Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos; Timbalan Komander, Brigadier Jeneral Mohammad Ismail Kamarudin; serta SAC Datuk Habibi Majinji, Ketua Staf Bahagian Operasi Darat.

Dalam sesi taklimat keselamatan yang dikendalikan Brig. Jen. Mohammad Ismail, ESSCOM turut menekankan usaha mengekang penyebaran maklumat palsu dan fitnah yang boleh menjejaskan kestabilan komuniti setempat sepanjang tempoh pilihan raya.

Antara inisiatif keselamatan baharu yang dirancang termasuk pemasangan lima Long Range Camera (LRC) di perairan Pulau Banggi, Kudat; penempatan Tactical Floating Barge bersama enam bot pemintas; serta pembinaan Pos PGA di Pulau Bankawan bagi memperkukuh kawalan perairan.

ESSCOM juga akan memperoleh Sistem Dron Taktikal untuk mempertingkat pemantauan udara dan keselamatan maritim, selain melaksanakan projek pembinaan Jalan Keselamatan dari Pos Gogotin ke Kampung Sibumbong serta menara pemantau di Pos Dogoton (ATM).

Dr. Shamsul Anuar berkata, lawatan itu memberi peluang kepada pihak kementerian memahami dengan lebih dekat peranan strategik ESSCOM dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara di kawasan Pantai Timur Sabah.

“Pendekatan bersepadu antara semua agensi keselamatan amat penting bagi memastikan kelancaran proses demokrasi serta menjamin keselamatan, kestabilan dan keharmonian negeri,” katanya.

LEAVE A RESPONSE