Read Time:1 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU : Empat daerah di pantai timur Sabah iaitu Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu dikenal pasti terjejas susulan amaran tsunami yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berikutan kejadian gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina.
Menurut MET Malaysia, gempa bumi bermagnitud 7.9 berlaku pada jam 7.37 pagi dengan kedalaman 50 kilometer di Mindanao, Filipina.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pusat gempa tersebut dikesan pada koordinat latitud 5.7 darjah Utara dan longitud 125.1 darjah Timur.
Beliau berkata, berdasarkan analisis terkini, MET Malaysia menjangkakan ombak tsunami setinggi 0.4 meter boleh melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, 8 Jun 2026.
“Sehubungan itu, orang awam khususnya penduduk di kawasan pesisir pantai yang terlibat dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
“MET Malaysia memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan kejadian berkenaan dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, penduduk juga diminta supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta mendapatkan perkembangan terkini hanya melalui saluran rasmi MET Malaysia termasuk laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial jabatan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada MET Malaysia melalui talian Hotline 1300-22-1638.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan kejadian gempa bumi tersebut.






