Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Jangan tolak tawaran pengajian kerana faktor kewangan – Naib Canselor UMS

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyeru pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke universiti itu agar tidak menolak peluang melanjutkan pengajian hanya kerana berdepan kekangan kewangan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pihak universiti sentiasa komited memastikan setiap pelajar yang layak mendapat akses kepada pendidikan tinggi tanpa mengira latar belakang sosioekonomi keluarga.

Katanya, UMS menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan kebajikan bagi membantu pelajar baharu memulakan pengajian dengan lebih selesa, khususnya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan B40.

“Pelajar tidak perlu terlalu bimbang mengenai soal kewangan sehingga membuat keputusan untuk tidak mendaftar. Yang penting, mereka hadir mendaftar terlebih dahulu dan memaklumkan kepada pihak universiti mengenai kesukaran yang dihadapi.

“UMS akan berusaha membantu dan mencari penyelesaian terbaik agar mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya dalam satu  kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, antara bantuan yang disediakan termasuk bantuan awal pendaftaran, kemudahan penangguhan bayaran yuran, bantuan zakat dan kebajikan, bantuan sara hidup secara sekali bayar serta kemudahan penginapan di kolej kediaman bersubsidi.

Selain itu, pelajar turut boleh mendapatkan manfaat daripada Program Dapur Siswa, tabung kebajikan pelajar, bantuan kecemasan dan pelbagai skim biasiswa serta pembiayaan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan, agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

Menurut Kasim, usaha itu selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa halangan kewangan.

Beliau turut menjelaskan bahawa UMS sentiasa memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi zakat, yayasan, alumni, badan kebajikan dan rakan industri bagi memperluaskan lagi bantuan kepada pelajar yang memerlukan.

“Pendidikan tinggi merupakan pelaburan penting bagi masa depan negara. Setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang yang sama untuk menimba ilmu dan meningkatkan potensi diri.

“Kami mahu pelajar yang melangkah masuk ke kampus berasa yakin bahawa universiti sentiasa bersama mereka sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa dan pelajar supaya tidak menolak tawaran kemasukan ke universiti hanya kerana kebimbangan terhadap kos pengajian, sebaliknya mendapatkan maklumat dan bantuan yang disediakan oleh pihak universiti.

Katanya, UMS akan terus memainkan peranan dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara serta tiada pelajar tercicir daripada pendidikan tinggi akibat masalah kewangan.

LEAVE A RESPONSE