Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lebih 8,800 kenderaan daftar bawah peluasan SKDS dan SKPS

Read Time:1 Minute, 57 Second

PUTRAJAYA: Sebanyak 8,862 kenderaan berjaya didaftarkan di bawah peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaannya bermula 1 Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan kelayakan itu melibatkan kenderaan jenis pikap dan jip bagi sektor pengangkutan darat barangan susulan penambahbaikan mekanisme SKDS dan SKPS yang diumumkan kementerian pada 23 Mei lalu.

Menurutnya, penambahbaikan berkenaan dilaksanakan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara lebih bersasar.

“Setakat 1 hingga 3 Jun 2026, sebanyak 8,862 kenderaan telah berjaya didaftarkan, melibatkan 8,524 pikap diesel, 329 jip diesel dan sembilan jip petrol,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, selain berdaftar atas nama syarikat atau entiti perniagaan, syarat kelayakan turut mengambil kira kategori kegunaan yang direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta status pendaftaran sebagai kenderaan perdagangan.

Katanya, peluasan SKDS dan SKPS melibatkan kenderaan pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon dengan berat antara 950 kilogram hingga 7,500 kilogram.

Bagaimanapun, kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kategori khas lain serta Barangan-Tiada Permit/Off-Road tidak layak menyertai skim berkenaan.

Dalam perkembangan sama, KPDN turut melaksanakan pelarasan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan sebagai langkah memperkukuh mekanisme kawal selia serta mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.

Armizan berkata, setiap fleet card kini diberikan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada had yang ditetapkan mengikut 23 jenis kenderaan yang layak di bawah SKDS.

Menurutnya, penetapan kuota itu dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak 2024.

“Bagi syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).

“Permohonan perlu disertakan justifikasi keperluan operasi dan rekod penggunaan sebenar sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, setakat 1 hingga 3 Jun lalu, sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan rayuan tambahan kuota melibatkan 82 kenderaan dan semua permohonan sedang diproses untuk pertimbangan JKSP.

Katanya, KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api sampai kepada golongan yang layak, selain mengekang ketirisan dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan.

LEAVE A RESPONSE