Read Time:1 Minute, 57 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneliti keperluan Persatuan Tinju Negeri Sabah (PTNS), termasuk mempertimbangkan peningkatan geran kewangan tahunan bagi memperkukuhkan pembangunan sukan tinju di negeri ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan sukan tinju terus berkembang dan mampu melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang dapat mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, geran tahunan yang disalurkan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah sebelum ini telah banyak membantu PTNS dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan atlet serta penganjuran kejohanan di seluruh negeri.
“Atas kegigihan dan komitmen yang ditunjukkan oleh PTNS dalam membangunkan sukan ini, pihak kementerian akan terus meneliti keperluan persatuan, termasuk mempertimbangkan peningkatan sokongan dan geran tahunan bagi membolehkan PTNS memperluas aktiviti pembangunan tinju di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor di sini pada Rabu.
Katanya, tinju merupakan antara sukan yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang pingat kepada Sabah, khususnya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA), justeru pembangunan atlet, latihan berterusan serta penganjuran pertandingan perlu diperkasakan secara konsisten.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan sukan tidak seharusnya tertumpu di ibu negeri semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan ke seluruh daerah yang mempunyai bakat dan potensi.
“Kita mahu sukan tinju Sabah bukan sahaja aktif di Kota Kinabalu, tetapi hidup dan berkembang di setiap daerah yang mempunyai bakat, minat dan potensi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penyertaan memberangsangkan dalam Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor membuktikan sukan tersebut masih mendapat sambutan yang baik di peringkat akar umbi.
Kejohanan berkenaan disertai 24 pasukan daripada persatuan tinju daerah, kelab dan gimnasium seluruh Sabah dengan penglibatan seramai 153 atlet, pengurus pasukan dan jurulatih.
Selain itu, seramai 24 pegawai kejohanan, pengadil, hakim dan pembantu teknikal turut terlibat bagi memastikan pertandingan berjalan lancar.
Beliau berkata jumlah penyertaan tersebut menunjukkan masih banyak bakat muda yang perlu terus dicungkil dan diberi peluang untuk berkembang melalui program pembangunan yang lebih tersusun.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan PTNS, Persekutuan Tinju Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan ekosistem pembangunan sukan tinju di Sabah dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
“Bakat besar tidak semestinya lahir dari tempat yang besar. Kadang-kadang juara masa depan lahir dari daerah kecil dan gelanggang sederhana, tetapi memiliki semangat yang luar biasa,” katanya.






