Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Dua finalis peraga pakaian tradisi Sungai Milian ‘Karantikung’

Read Time:2 Minute, 11 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Dua finalis Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) peringkat negeri tahun ini memperagakan pakaian tradisi etnik Sungai Milian, Karantikung.

Vrenda Joaan Deftenneay Taji@Paul yang mewakili Kinabatangan dan Ally Denis, wakil Sukau, merupakan antara 53 finalis yang bersaing merebut gelaran UNK 2026.

Digunakan sejak tahun 1960-an, Karantikung menampilkan motif pucuk rebung yang melambangkan hubungan persaudaraan yang erat dan teguh ukhuwah atau dalam bahasa Sungai Milian dikenali sebagai “Miudul, Mitabang Ogirot”.

Vrenda berkata warna merah pada pakaian itu melambangkan semangat keberanian, hijau melambangkan kesuburan manakala kuning membawa maksud keagamaan.

“Karantikung terdiri daripada baju kebaya sempit berlengan panjang dan kain panjang daripada fabrik baldu hitam yang dipadankan dengan penutup kepala dikenali sebagai Delundung, diperbuat daripada kain kapas merah yang berfungsi sebagai pelindung daripada panas dan penyeka peluh,” katanya.

Menurutnya, pakaian tradisi itu lazimnya dipakai ketika majlis keramaian dan persembahan tarian komuniti Sungai Milian.

Sementara itu, Ally berkata, kehalusan sulaman tangan bermotifkan pucuk rebung pada bahagian leher, dada, pergelangan tangan, pinggang serta keliling bawah baju dan kain menjadi antara keistimewaan utama Karantikung.

“Pakaian ini turut dilengkapkan dengan aksesori seperti kalung kayu, tiga utas himpogot, tiga keping emas paun dan gelang tembaga yang menyerlahkan identiti  etnik Sungai Milian,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya, Vrenda yang menyertai pertandingan UNK buat kali ketiga berkata, minat mendalam terhadap budaya sendiri mendorong beliau menyertai pertandingan itu selain menjadikannya platform untuk lebih mengenali kebudayaan masyarakat Kadazandusun.

“Pertandingan Unduk Ngadau ini salah satu platform untuk saya lebih mengenali kebudayaan kita.

“Saya juga banyak belajar sendiri dan mendapatkan bantuan ahli keluarga serta guru Bahasa Kadazandusun untuk memperbaiki penguasaan bahasa,” katanya.

Menurutnya, beliau turut mengikuti kelas Bahasa Kadazan selain merujuk guru bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa yang dipelajarinya tepat.

Sementara itu, Ally berharap penyertaannya dapat membantu memperkenalkan Sukau kepada masyarakat Sabah.

“Ini kali pertama Sukau menghantar wakil ke KDCA. Saya berharap lebih ramai dapat mengenali Sukau, termasuk budaya, pakaian tradisi dan bahasa yang dituturkan masyarakat di sana.

“Saya juga berharap dapat membawa nama Sukau dengan baik dan melakar pencapaian yang membanggakan,” kata guru yang bertugas di daerah Kinabatangan itu.

Untuk rekod, pakaian tradisi ini julung kali diperkenalkan di pentas KDCA pada tahun 2024 oleh Unduk Ngadau Kinabatangan, Magdlena Dinoh.

Pertandingan Unduk Ngadau sering dianggap kemuncak sambutan Kaamatan di Sabah dan turut menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian pakaian tradisi etnik di negeri ini.

Sejak 2015, jawatankuasa UNK yang dipimpin Pengerusi Majlis Wanita Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Datuk Joanna Kitingan, mula memberi penekanan kepada pemakaian pakaian tradisi asli mengikut daerah yang diwakili peserta.

Usaha itu membuka ruang kepada pelbagai etnik di Sabah memperkenalkan busana tradisi yang jarang diketengahkan kepada umum menerusi pentas UNK.

Ally dan Vrenda

LEAVE A RESPONSE