Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Piala FA : Sabah bawa bekalan selesa ke Likas

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA BHARU: Sabah membawa pulang bekalan selesa ke Likas selepas berjaya menundukkan Kelantan TRW 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2025 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, Sabah tampil berani dan garang apabila mendahului seawal minit ke-11 hasil jaringan Jafri Chew yang menyempurnakan peluang di depan gawang lawan.

Namun kegembiraan pasukan pelawat tidak bertahan lama apabila Abdul Sesay meledak gol penyamaan buat Kelantan hanya lima minit kemudian menerusi rembatan padu selepas menerima hantaran kemas daripada Albert Kang.

Kelantan hampir berada di hadapan pada minit ke-30 apabila Sesay sekali lagi menjaringkan gol, namun ia dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.

Sabah tidak menunggu lama untuk kembali memimpin perlawanan. Pada minit ke-43, Ajdin Mujagic muncul wira apabila menyudahkan umpanan rakan sepasukan di depan pintu gol untuk memastikan The Rhinos mendahului 2-1 menjelang rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan TRW tampil lebih agresif dalam usaha mencari gol penyamaan, namun kekentalan benteng Sabah yang diketuai Damien Lim berjaya mengekang segala asakan pasukan tuan rumah.

Meskipun Kelantan meningkatkan tekanan terutama dalam 10 minit terakhir, keputusan kekal 2-1 memihak kepada Sabah sehingga wisel penamat.

Kemenangan di tempat lawan ini memberi kelebihan buat Sabah menjelang aksi timbal balik di laman sendiri pada 29 Oktober nanti.

Dengan agregat 2-1, Sabah hanya perlu seri di Likas untuk melangkah ke separuh akhir, manakala Kelantan perlu menang dengan dua gol tanpa balas untuk mara. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

LEAVE A RESPONSE