Read Time:1 Minute, 10 Second
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan bersama rampasan minyak diesel bersubsidi dalam Op Tiris yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan tanpa permit atau kelulusan sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) IPD Penampang melakukan pemantauan di sebuah stesen minyak di daerah itu sebelum menahan suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan membeli dan mengumpul minyak diesel secara tidak sah menggunakan sebuah lori rigid satu tan yang telah diubah suai dengan tangki minyak kanvas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu, polis turut merampas kira-kira 300 liter minyak diesel, sebuah lori satu tan, sekeping kad bank, sebuah telefon bimbit serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM68,645.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.
Sammy berkata, pihak polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi menjaga kepentingan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan.






