Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Keputusan Mahkamah Tinggi kemenangan besar untuk rakyat Sabah – James Ligunjang

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini disifatkan sebagai kemenangan besar kepada rakyat Sabah serta memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang dan autonomi negeri, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk James Ligunjang.

Beliau berkata keputusan bersejarah itu menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan perlu menghormati jaminan perlembagaan berhubung hak negeri terhadap bahagian hasil negara yang sewajarnya.

Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu hari ini memutuskan bahawa Sabah berhak menerima 40 peratus daripada semua hasil Persekutuan berdasarkan peruntukan Perkara 112C dan 112D, Bahagian V, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan Persekutuan menjalankan semakan menyeluruh terhadap hak hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021 dalam masa 90 hari, serta mengadakan rundingan dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari.

“Ini bukan sahaja kemenangan untuk Sabah, tetapi juga untuk keadilan, kesaksamaan dan integriti sistem perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

James turut menggesa kerajaan Persekutuan agar tidak menangguh atau membuat rayuan terhadap keputusan itu, sebaliknya menunjukkan keikhlasan dan komitmen dengan mematuhi Perintah Mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, pelaksanaan segera keputusan tersebut penting bagi menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan menghormati kedaulatan undang-undang serta menegakkan prinsip ketelusan, keadilan dan hak perlembagaan rakyat Sabah.

Bagi memastikan proses semakan yang telus dan adil bagi tempoh 1974 hingga 2021, Ligunjang mencadangkan agar kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah memanfaatkan Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan pelantikan Assessor bebas bertaraf antarabangsa untuk menjalankan penilaian menyeluruh dan mengikat.

“Pelantikan badan bebas ini akan memastikan proses semakan berjalan dengan kredibiliti, objektiviti dan mendapat kepercayaan awam,” katanya.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi itu wajar dijadikan pemangkin kepada pembaharuan kepercayaan, keadilan dan akauntabiliti antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah.

“Keadilan untuk rakyat Sabah bukan sekadar impian, tetapi mesti direalisasikan. Masa untuk bertindak ialah sekarang,” katanya sambil merakam penghargaan kepada Sabah Law Society atas usaha memperjuangkan hak negeri itu.

LEAVE A RESPONSE