Read Time:1 Minute, 48 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dinasihatkan supaya tidak “memviralkan” kes berkaitan Zara.
Saksi ke-71, Nur Shira Abdullah, berkata beliau mendengar sendiri seorang PK HEM memberikan nasihat itu kepada ibu Zara semasa berada di tanah perkuburan selepas selesai urusan pengebumian.
“Semasa berada di tanah perkuburan selepas selesai urusan pengebumian, saya ada mendengar seorang PK HEM daripada pihak sekolah menasihatkan Noraidah (ibu Zara) supaya tidak ‘memviralkan’ kes tersebut,” katanya.
Beliau berkata, Noraidah ketika itu turut bertanyakan mengenai buku dan barang-barang peribadi milik Zara sebelum dimaklumkan pihak sekolah akan membantu mengemaskan barang arwah serta meminta ibu Zara menghubungi guru berkaitan melalui WhatsApp.
Nur Shira turut memberitahu mahkamah bahawa beberapa guru sekolah dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri hadir ke hospital selepas kejadian namun kebanyakan mereka tidak memberikan penjelasan jelas mengenai insiden berkenaan apabila ditanya keluarga.
“Saya juga melihat seorang warden yang sebelum ini menghubungi Noraidah turut berada di wad namun tidak memberikan penjelasan kepada keluarga,” katanya.
Menurutnya, pada pemerhatiannya, kebanyakan guru yang hadir lebih tertumpu mengambil gambar arwah berbanding memberikan sokongan emosi kepada keluarga.
“Semasa lawatan Menteri Pendidikan ke hospital, keluarga ada meminta penjelasan mengenai kejadian tersebut dan kami dimaklumkan bahawa pihak sekolah diarahkan untuk tidak memberikan maklumat kepada waris kerana kes masih dalam siasatan,” katanya.
Nur Shira berkata, keluarga turut dimaklumkan mengenai cadangan membawa jenazah Zara ke sekolah bagi tujuan penghormatan terakhir namun beliau membantah cadangan tersebut kerana berpendapat jenazah perlu segera diuruskan untuk pengebumian.
Dalam keterangannya, Nur Shira turut mendakwa pengetua sekolah tidak hadir bertemu waris ketika keluarga datang menyerahkan surat rasmi tuntutan laporan insiden berhubung kejadian melibatkan arwah Zara.
Katanya, surat itu hanya diterima seorang warden sekolah atas arahan pihak pentadbiran.
“Pada 20 Julai 2025, sekitr jam 2 petang, ibu Zara bersama saya dan suami turut hadir ke sekolah bagi menyerahkan surat rasmi tuntutan laporan insiden berhubung kejadian melibatkan arwah Zara. Walau bagaimanapun, pengetua tidak hadir untuk bertemu dengan waris.
“Surat tersebut hanya diterima oleh warden sekolah, iaitu Cikgu Rohayati, atas arahan pihak pentadbiran sekolah.
“Pada pemerhatian saya, keadaan ini memberi gambaran seolah-olah pihak pengetua mengelakkan diri daripada berjumpa secara langsung dengan kami,” katanya.






