Read Time:1 Minute, 58 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini dimaklumkan sekeping gambar dan satu video yang diekstrak daripada telefon bimbit allayarhamah Zara Qairina Mahathir adalah asal dan tidak disunting.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer, ASP Mohd Zaidi Abu Hassan, 44, berkata berdasarkan pengalaman beliau, gambar dan video berkenaan adalah versi asal serta tidak diedit, diubah suai atau diusik.
Saksi ke-70 itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam Datuk Ram Sing di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ram meminta saksi membuka satu gambar dan video daripada pemacu pena menggunakan komputer mahkamah yang memaparkan Zara sedang berbasikal bersama seorang kanak-kanak perempuan lain.
Ram kemudian bertanya sama ada kedua-dua individu dalam gambar itu kelihatan sedang tersenyum dan saksi mengesahkannya.
Apabila ditanya sama ada wajah tersenyum dalam gambar tersebut boleh diedit atau diubah suai, Mohd Zaidi berkata berdasarkan pengalamannya, gambar itu adalah asli dan tidak mengalami sebarang suntingan atau pengubahsuaian.
Beliau turut memberi keterangan bahawa video berkenaan juga tidak disunting, diubah suai atau diusik.
Menurut saksi itu, data yang diekstrak menunjukkan gambar tersebut diambil pada 12 Julai 2025 pada waktu petang, manakala video dirakam pada hari sama pada jam 4.43 petang.
Bagaimanapun, beliau berkata data yang diekstrak tidak mengandungi maklumat lokasi gambar dan video itu dirakam.
Mohd Zaidi turut memberitahu mahkamah bahawa beliau berjaya mendapatkan sebanyak 3,625 keping gambar daripada telefon bimbit Zara yang ditandakan sebagai eksibit WF1.
Bagi video pula, beliau berkata tiga video bertarikh 12 Julai 2025 berjaya diekstrak daripada peranti berkenaan.
Saksi itu berkata beliau menerima telefon bimbit Zara daripada pegawai penyiasat bersama arahan untuk menjalankan pemeriksaan dan analisis terhadap peranti tersebut.
Menjawab satu lagi soalan, Mohd Zaidi berkata analisis yang dijalankannya adalah berdasarkan permohonan pegawai penyiasat dan soal sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Saya ditugaskan untuk mengekstrak data dan bukan untuk membuktikan punca kematian,” katanya.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan pagi di Hospital Queen Elizabeth.
Mayatnya kemudian digali semula pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberikan nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa kerana menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.
Ram mengetuai pasukan guaman yang mewakili pelajar A.






