Read Time:1 Minute, 12 Second
KOTA KINABALU: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpeluang mendengar dan menyelami pengalaman luar biasa Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang mengadakan kembara ke universiti dan institusi penyelidikan terkemuka dunia.
Menerusi Program Sembang Santai: Kembara Dunia 100 Hari yang berlangsung di Dewan Resital, UMS, Zaini berkongsi pengalaman pengembaraan beliau menjelajahi 15 negara dalam tempoh 100 hari, meliputi Qatar, Arab Saudi, Turkiye, Sweden, Norway, Denmark, Jerman, Switzerland, Perancis, Belgium, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea.
Sepanjang kembara tersebut, beliau mengunjungi lebih daripada 40 universiti dan institusi penyelidikan terkemuka dunia dengan tujuan memperkukuh jaringan akademik serta memupuk kerjasama penyelidikan antarabangsa.
“Adalah amat penting untuk memperluas perspektif global dalam bidang pendidikan tinggi serta memperkukuh kolaborasi akademik antarabangsa agar dapat memberi manfaat kepada Malaysia, khususnya institusi pengajian tinggi.
“Pendedahan terhadap budaya dan sistem pendidikan pelbagai negara memberi peluang besar kepada warga akademik untuk menimba ilmu baharu serta mencipta ruang kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan,” katanya ketika menyampaikan perkongsian di hadapan lebih 400 warga kakitangan akademik, pentadbiran serta pelajar UMS.
Beliau turut menyeru seluruh warga universiti untuk terus membina jaringan ilmu tanpa sempadan, selain menggalakan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan keterbukaan terhadap dunia akademik global.
Pada program tersebut, Zaini turut mengambil peluang mengadakan sesi soal jawab bersama warga UMS yang hadir.
Hadir sama pada program itu Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor serta barisan pegawai utama dan kanan UMS. – SABAH MEDIA / FOTO UMS