Read Time:2 Minute, 12 Second
PUTATAN : Sebanyak sembilan pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1A dijadual siap sepenuhnya pada tahun ini yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat di Sabah.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Ahmad Maslan berkata, Pakej Kerja (WP) yang dijadual siap tahun ini melibatkan WP 1, 3, 4, 7, 8, 10, 11, 29 dan 30 selain empat WP yang sudah siap pada 2023 hingga 2025.
Beliau berkata, Kerajaan komited untuk memastikan projek berkenaan berjalan mengikut jadual bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan jalan raya yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna di negeri ini.
“Selain daripada itu, tahun depan ada empat lagi WP akan siap iaitu 2, 28, 12 dan 19. Jadi dengan siap WP tahun sebelum ini, tahun ini dan tahun depan, maka kebanyakan apa yang kita tunggu-tunggu sudah menjadi kenyataan.
“Dan jangkaan kami, 12 WP siap pada 2028, tiga siap pada 2029 dan akhirnya WP 26, 34 dan 35 pada 2030 selesai Pan Borneo 1A dan 1B.
“Harapan saya selaku Timbalan Menteri, yang mana kita boleh pantaskan, kita pantaskan. Maka dengan kepantasan itu kita boleh menyelesaikan banyak perkara kemudahan prasarana untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke Sabah di sini pada Rabu.
Ahmad Maslan berkata, dua pakej kerja akan dibuka untuk menghubungkan Putatan dengan Menggatal tanpa melalui Kota Kinabalu yang melihatkan WP6 dan WP7.
“Ia bagi meringankan kesesakan di Kota Kinabalu kerana kita membuka perhubungan itu ya. Jadi kepada sesiapa yang tidak ada urusan untuk singgah ke ibu negeri, mereka boleh terus melalui jalan ini. Insya-Allah sebelum bulan Julai atau Ogos kita akan buka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja pengalihan utiliti bagi Projek LPB Sabah Fasa 1B telah dimulakan dan kemajuan itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan mesyuarat koordinasi berkala bersama agensi utiliti berkaitan.
Beliau berkata, antara agensi yang terlibat ialah Sabah Electricity, Jabatan Air Negeri Sabah dan Telekom Malaysia.
“Berita baik untuk Fasa 1B ialah kerja-kerja pengalihan utiliti sudah pun dimulakan.
“Kelewatan sebelum ini berpunca daripada proses pelantikan subkontraktor, namun perkara itu telah selesai,” katanya.
Beliau berkata, isu pengalihan utiliti merupakan antara faktor utama yang menyebabkan beberapa komponen projek mengalami kelewatan.
Katanya, dengan selesainya urusan pelantikan subkontraktor, pelaksanaan Fasa 1B kini dapat diteruskan dengan lebih lancar.
Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya di bawah arahan Menteri Kerja Raya terus mengadakan mesyuarat koordinasi setiap bulan bersama agensi utiliti bagi memastikan sebarang isu dapat diselesaikan segera.
Menurutnya, Jawatankuasa Pemandu projek juga bermesyuarat setiap bulan untuk memantau kemajuan dan menyelaras tindakan susulan.
“Usaha koordinasi yang berterusan ini penting bagi memastikan semua kerja berkaitan utiliti dapat dilaksanakan mengikut jadual dan tidak lagi menjejaskan kemajuan projek,” katanya. – SABAH MEDIA






