KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas sebanyak lima bungkusan yang disyaki dadah jenis ganja bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), semalam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, agensi terbabit menjelaskan bungkusan berkenaan berjaya dikesan hasil pemeriksaan fizikal yang telah dibuat.
Menurutnya, pihaknya mendapati bungkusan tersebut mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat kasar sebanyak 2,205 gram.
“Kelima-lima bungkusan tersebut telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“AKPS sentiasa komited dalam memastikan keselamatan sempadan negara terjamin, termasuk pintu masuk melalui saluran kargo udara agar ia tidak dijadikan laluan untuk aktiviti penyeludupan dadah atau barang larangan lain.
“Pemantauan dan pemeriksaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa yang berkaitan,” jelas dalam kenyataan terbabit.
Dalam pada itu, agensi berkenaan turut berkata kerjasama orang awam amat dialu-alukan dalam usaha membanteras jenayah membabitkan pengedaran dadah itu.