Read Time:2 Minute, 3 Second
KIMANIS : Taman Agro-Perindustrian Sabah (SAIP) di sini disifatkan sebagai pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri apabila berjaya menarik minat pelabur dan melahirkan syarikat tempatan berdaya saing global.
Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Ar. James Wong berkata, SEDCO kini mengambil peranan utama dalam pengurusan SAIP Sdn. Bhd. dengan visi untuk menjadikan taman itu sebagai pusat tumpuan industri berasaskan agro di Sabah, selain mengukuhkan daya saing produk tempatan di pasaran global.
“Kami mahu SAIP menjadi pemangkin pembangunan industri agro Sabah iaitu sebuah hab berdaya tahan yang bukan sahaja mencipta pekerjaan, tetapi juga membina kekuatan ekonomi baharu untuk rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari SAIP Biz-Connect di sini pada Khamis.
Program khas itu menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri, sektor swasta dan penyelidik bagi membina sinergi strategik dalam industri agro berasaskan nilai tambah.
James berkata, program itu juga adalah bagi membuka ruang perbincangan dan kolaborasi antara sektor awam serta swasta dalam mengenal pasti peluang pasaran dan keperluan industri sebenar.
“Kemajuan hanya berlaku apabila kita saling berhubung. Sudah tiba masanya kita bekerja dalam sinergi iaitu meliputi kerajaan, komuniti perniagaan dan institusi penyelidikan perlu berganding bahu bagi mencapai potensi sebenar ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau turut menekankan pendekatan baharu “berfikir dari pasaran ke dasar” iaitu memahami permintaan pasaran dan keperluan industri terlebih dahulu sebelum membangunkan infrastruktur dan dasar sokongan.
Sementara itu, James berkata, SAIP kini menawarkan kemudahan bertaraf antarabangsa dengan fasiliti ISO, HACCP dan GMP-ready, zon bersih serta ruang inkubasi perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu tambahnya, kemudahan seperti sistem pembungkusan bersama, mesin pemprosesan, stor sejuk dan khidmat konsultasi R&D menjadikan SAIP sebagai platform lengkap bagi syarikat tempatan menguji, menghasilkan dan mengembangkan produk tanpa beban kos yang tinggi.
“Bagi banyak PKS, ini adalah kelebihan besar. Mereka boleh terus fokus kepada inovasi dan pembangunan produk tanpa perlu membina kilang sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, James berkata, SAIP turut membuka peluang kepada pelabur dan pengilang untuk meneroka potensi taman industri itu yang dilengkapi dengan infrastruktur strategik berhampiran laluan logistik utama dan pelabuhan.
Katanya, ia menawarkan kilang sedia sewa, tanah untuk dibangunkan serta akses kepada pelbagai insentif dan sokongan kerajaan.
Namun, beliau menegaskan bahawa kejayaan SAIP perlu berpaksikan kelestarian kewangan dan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan industri.
“SEDCO dan SAIP bukan sekadar penyedia kemudahan atau agensi kerajaan yang memberi percuma.
“Kami adalah rakan strategik pembangunan — pelaburan yang mampan hanya akan berlaku apabila kedua-dua pihak sama-sama komited,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO SEDCO.