Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tindakan serta merta kandungan media sosial menyalahi undang-undang, langgar peraturan pilihan raya – MCMC

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Tindakan serta-merta akan diambil terhadap sebarang kandungan media sosial yang menyalahi undang-undang atau melanggar peraturan pilihan raya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memandangkan banyak aktiviti kempen dijangka dijalankan secara dalam talian.

“Antara perkara utama ialah tindakan yang boleh diambil oleh pihak SPR dengan segera untuk pastikan sekiranya ada sebarang kandungan yang dikenal pasti sebagai melanggar peraturan sempena pilihan raya, maka boleh diambil tindakan pantas.

“MCMC juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi taklimat kepada wakil calon berhubung tatacara membuat aduan berkaitan penyebaran maklumat palsu atau bahan tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkempen.

“Selain itu, MCMC juga akan bertemu dengan pihak META dan TIKTOK di Singapura minggu depan agar memberi penegasan dalam tempoh pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan dalam Program Sumbangan Tabung Kasih HAWANA, pada Khamis.

Pada program itu, wartawan Asia Times Pulse, John Tambanan menerima sumbangan daripada Tabung Kasih HAWANA selepas rumahnya terjejas teruk akibat bencana banjir yang melanda pada September lalu.

John Tambanan merupakan penerima ke-31 di negeri Sabah dan ke-533 di seluruh negara sejak Tabung Kasih HAWANA diwujudkan.

Beliau menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan kementerian terhadap nasib wartawan seperti beliau yang terjejas akibat banjir.

“Saya rasa ini cukup baik. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan kebajikan warga media yang diberi perhatian oleh Tabung HAWANA ini. Kita harap bantuan dapat diberikan kepada warga-warga media secara berterusan,” ujarnya. – PENERANGAN SABAH

LEAVE A RESPONSE