Read Time:2 Minute, 5 Second
Oleh J Evachel John
SANDAKAN: ‘Setiap anak berhak diraikan’ menjadi pegangan seorang bapa kepada anak autisme yang mencetuskan idea penganjuran larian awam berteraskan inklusiviti.
Pengarah larian, Joe Quah, berkata program Sandakan Sensory Fun & Relay Run 2026 yang julung kali diadakan itu menyediakan ruang selamat dan mesra sensori bagi membolehkan kanak-kanak berkeperluan khas menyertai aktiviti dalam suasana terkawal.
“Pada awalnya saya tidak merancang untuk membawa anak saya, Joshua, 10, yang merupakan seorang kanak-kanak autisme ke acara ini.
“Saya risau kerana saya akan sangat sibuk dan membawa Joshua bersama mungkin terlalu mencabar. Bagi ramai kanak-kanak berkeperluan khas, terutamanya autisme, suasana seperti ini boleh menjadi mencabar dengan bunyi bising, orang ramai, dan persekitaran yang tidak menentu.
“Namun acara ini sebenarnya untuk anak-anak seperti Joshua. Jadi saya membuat keputusan untuk membawa Joshua kerana dia berhak berada di sini, menjadi sebahagian daripada acara ini dan diraikan. Tiada anak yang harus dipinggirkan,” katanya.

Program anjuran bersama Persatuan Sokongan Kem Terapi Sandakan (CATS) dan Persatuan Anak-Anak Istimewa Sandakan (PAIS) itu menghimpunkan seramai 415 peserta di Eagles Rugby Club sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia, baru-baru ini.
Joe berkata, sambutan positif program itu mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap autisme serta semangat solidariti dalam kalangan ibu bapa dan komuniti yang berdepan cabaran sama.
“Perkara ini mengingatkan bahawa kami tidak bersendirian. Kita ada satu ‘kampung’ yang terdiri daripada ibu bapa, ahli terapi, guru Program Pendidikan Khas Integrasi, pelajar dan petugas kesihatan yang saling menyokong. Itu membuatkan saya rasa sangat bersyukur,” katanya.
Joe berharap program ini akan terus berkembang sebagai platform penyatuan komuniti, selain memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan sokongan berterusan kepada kanak-kanak autisme di Sandakan.
“Larian ini bukan tentang kemenangan tetapi tentang inklusiviti, penerimaan dan komuniti. Kita mahu membina Sandakan yang menerima setiap perbezaan dan memastikan setiap anak mempunyai tempat untuk merasa diterima,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, yang menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam membina pemahaman masyarakat terhadap autisme dan keperluan inklusiviti.
Berlatarbelakangkan pendidikan awal kanak-kanak, beliau mengakui tersentuh dengan kesabaran dan dedikasi ibu bapa yang membesarkan anak berkeperluan khas dalam jangka masa panjang.
Selain larian, program turut menampilkan komponen khas Special Needs Sensory Circuit dengan aktiviti seperti crawling, tyre pull, frog jump, hurdles dan rainbow parachute, di samping ceramah kesedaran autisme, reruai interaktif berasaskan ransangan sensori, pemeriksaan kesihatan serta aktiviti Photobooth.
Pasukan Nose Bleed Runners 1 muncul juara Sandakan Sensory Fun & Relay Run 2026, diikuti Nose Bleed Runners 2 di tempat kedua dan Kolej Vokasional Sandakan di tempat ketiga.







