Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Permohonan SKDS pengangkutan darat di Sabah, Sarawak, Labuan dibuka 4 Mei


Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Permohonan pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dibuka bermula 4 Mei 2026.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peluasan pelaksanaan subsidi diesel itu melibatkan fasa awal pendaftaran syarikat pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Menurutnya, kenderaan yang didaftarkan di bawah SKDS oleh syarikat yang layak boleh menikmati subsidi diesel pada kadar semasa RM2.15 seliter, tertakluk kepada ketetapan kerajaan.

“Permohonan boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my bermula jam 9 pagi, 4 Mei 2026,” menurut kenyataan itu.

Antara syarat kelayakan ditetapkan termasuk kenderaan memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak, serta syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Selain itu, kenderaan juga perlu tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS.

KPDN turut mengingatkan syarikat yang layak supaya menyemak kelayakan dan memilih kategori pendaftaran yang tepat bagi memastikan proses berjalan lancar.

Kategori pendaftaran merangkumi kategori syarikat, koperasi/PBT serta pemilikan tunggal.

Dalam pada itu, pembelian diesel bersubsidi akan dilaksanakan menggunakan kaedah ‘fleet card’.

Syarikat yang diluluskan di bawah SKDS perlu memohon kad tersebut melalui syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan surat kelulusan dan senarai kenderaan daripada sistem SKDS.

Maklumat lanjut permohonan kad armada boleh diperoleh melalui pautan berikut:

Syarikat dibenarkan memilih sehingga tiga syarikat minyak, dan tempoh pemprosesan serta penghantaran kad dianggarkan antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tempoh sah laku kelulusan SKDS bergantung kepada tempoh sah LKM atau cukai jalan kenderaan.

Sehubungan itu, pemilik kenderaan perlu memastikan cukai jalan dikemas kini sebelum 28 hari setiap bulan dan tarikh tamatnya melangkaui bulan berikutnya bagi memastikan kelayakan menerima subsidi.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pusat panggilan KPDN di peringkat negeri atau melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

KPDN dalam masa sama menggesa semua syarikat dan entiti perniagaan pengangkutan darat barangan yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan agar memanfaatkan kemudahan subsidi tersebut.

“Kerajaan komited memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi dibuat secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara,” menurut kenyataan itu lagi.

LEAVE A RESPONSE