Read Time:1 Minute, 49 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang penjual produk kecantikan didenda keseluruhan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki racun tanpa lesen untuk tujuan jualan, memiliki kosmetik tidak berdaftar serta kosmetik tanpa notifikasi.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Norfarazila Jafran, 26, selepas dia mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didenda RM1,500 setiap satu, manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didenda RM2,000. Tertuduh berdepan 14 hari penjara bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda..
Berdasarkan pertuduhan, Norfarazila didapati memiliki enam produk yang mengandungi bahan racun iaitu Hydroquinone, Tretinoin dan Sibutramine tanpa lesen yang sah, lapan kosmetik tidak berdaftar serta 18 jenis kosmetik tanpa notifikasi.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah kiosk pasar raya di Papar pada 5 Mac 2024.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula menyatakan tertuduh melanggar Perenggan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan kesalahan di bawah Subperaturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh melanggar Perenggan 18A(1) peraturan sama, yang merupakan kesalahan di bawah Subperaturan 18A(15) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Kedua-dua pertuduhan kedua dan ketiga memperuntukkan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Untuk rekod, pada 8 Disember 2025, Norfarazila pernah dijatuhi hukuman denda RM5,000 bagi empat pertuduhan memiliki produk tidak berdaftar dan tanpa notifikasi.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan dengan memaklumkan bahawa ini merupakan kesalahan keduanya yang berlaku pada hari sama iaitu 5 Mac 2024 tetapi di lokasi kedai berbeza.
Dia turut memaklumkan perniagaannya masih beroperasi dan memohon kebenaran mahkamah untuk membayar denda secara tiga ansuran sekiranya hukuman denda dikenakan.
Pegawai Pendakwa, Muhammad Zainal Arif, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan lain mendakwa tertuduh masih menjual produk sama, sebelum pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan.






