Read Time:1 Minute, 33 Second
KOTA KINABALU: Program Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) Cawangan Sabah, di sini baru-baru ini.
Delegasi UMS yang diketuai Ketua Program Alam Bina, Prof. Ar. Nurakmal Goh telah disambut Pengerusi RISM Cawangan Sabah, Sr Ts Allen Leslie Chin.
Menurut kenyataan FKJ, kunjungan itu bagi membincangkan kerjasama strategik antara dunia akademik dan profesion ukur bahan.
“Ia juga merupakan satu langkah penting UMS dalam memperkukuh penglibatan bersama badan profesional industri, selaras dengan pelancaran dua program baharu, Sarjana Muda Sains Senibina dan Sarjana Muda Ukur Bahan yang ditawarkan mulai tahun 2026.
“Kerjasama dengan RISM Cawangan Sabah ini memperlihatkan komitmen UMS untuk mengukuhkan hubungan antara akademia dan industri, memastikan kecemerlangan akademik seiring dengan keperluan profesional serta melahirkan graduan yang bersedia menyumbang kepada pembangunan mampan di Sabah,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.

Menurut fakulti itu, antara bidang utama yang dibincangkan merangkumi pembangunan akademik dan profesional, peluang latihan industri dan penempatan pelajar, pelaksanaan penyelidikan serta penerbitan bersama, inisiatif pembangunan kapasiti dan komuniti, selain pelaksanaan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).
“Perbincangan ini diadakan bagi memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan badan profesional dalam usaha memajukan sektor alam bina di Sabah.
“Pada masa yang sama kunjungan ke RISM Cawangan Sabah ini diadakan susulan kunjungan hormat FKJ UMS ke Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah baru-baru ini.
“Pada ketika itu perbincangan turut menyentuh peluang kolaborasi melalui seminar, panel penasihat, forum, projek CSR, dan penerbitan bersama.
“Kedua-dua pertemuan ini memperkukuh penglibatan UMS dengan komuniti profesional dalam bidang Alam Bina di Sabah,” tambah kenyataan itu.
Menurut FKJ, melalui penglibatan berterusan dengan institusi profesional seperti RISM dan PAM, UMS berhasrat melahirkan graduan yang berkemahiran, inovatif dan berorientasikan kelestarian.
“Usaha ini memperkukuh peranan UMS dalam memperkasa bakat tempatan serta menyokong pembangunan mampan negeri Sabah,” tambah kenyataan itu. – SABAH MEDIA / FOTO UMS