Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Ekspedisi Saintifik Sungai Darau perkukuh perancangan pelancongan lestari DBKK

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU : Hasil penyelidikan yang diperoleh menerusi Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau amat bernilai bagi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam memperkukuh perancangan dasar dan strategi pembangunan pelancongan yang berteraskan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti.  

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada pendekatan bersepadu DBKK untuk memperkukuh ekonomi pelancongan bandar raya melalui pengetahuan, inovasi dan bukti saintifik.

“Dengan adanya input empirikal daripada penyelidikan seperti ini, DBKK dapat merancang pembangunan pelancongan dengan lebih sistematik dan berdaya tahan, selaras dengan matlamat untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai Bandar Raya Hijau, Pintar dan Berdaya Tahan menjelang 2030. 

“Pendekatan ini juga mendukung aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam memperkukuh penglibatan komuniti, memelihara sumber semula jadi dan memperkasa ekonomi tempatan.

“Apa yang menjadikan program ini istimewa ialah kejayaan menggabungkan tiga komponen utama iaitu penyelidikan akademik, dasar pembangunan dan penglibatan masyarakat, dalam satu ekosistem yang berfungsi secara harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pembentangan Kertas Kajian Penyelidikan Program Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau “UMS–DBKK Sustainable Tourism Living Lab: Innovation & Engagement.”  di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr Lifred Wong.

Sabin berkata, komuniti Kampung Darau kini semakin berdaya maju melalui aktiviti seperti river cruise, homestay, pelancongan pesisir dan penghasilan kraftangan tempatan.

Katanya, ini adalah bukti bahawa pembangunan lestari tidak hanya terhad kepada agenda pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga menyentuh aspek sosial dan ekonomi, yang akhirnya meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. 

“Atas dasar itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) atas komitmen dan kesungguhan menjayakan usaha kolaboratif ini.

“Penghargaan yang sama juga ditujukan kepada semua penyelidik, pegawai DBKK, agensi kerajaan, rakan strategik serta komuniti Kampung Darau yang telah memainkan peranan masingmasing dengan penuh dedikasi dan semangat kebersamaan. 

“Hasil dapatan dan pembentangan kajian yang dikongsikan pada hari ini bukan sekadar menambah khazanah ilmu tentang biodiversiti dan ekosistem Lembangan Sungai Darau, tetapi juga menyediakan asas penting bagi pembentukan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy) dalam merancang masa depan pelancongan dan pengurusan sumber semula jadi negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

LEAVE A RESPONSE