Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah: Sabah perkasa pendekatan isi rumah hadapi kos sara hidup


Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi galakkan kepada rakyat untuk mengamalkan pertanian kendiri melalui program Kebun Dapur bagi membolehkan isi rumah menghasilkan bekalan makanan sendiri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu adalah bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan harian, malah dapat meningkatkan daya tahan isi rumah terhadap sebarang kejutan harga mahupun gangguan bekalan makanan.

“Kerajaan Negeri juga menggalakkan penggunaan produk keluaran tempatan yang bukan sahaja lebih berpatutan, malah mempunyai kualiti yang setanding dengan produk import.

“Langkah ini dapat mengurangkan impak kenaikan harga barangan, sekali gus merangsang permintaan domestik serta menyokong pertumbuhan industri tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan-Senallang) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sememangnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif menangani kos sara hidup sejak sebelum berlakunya krisis semasa.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Hajiji berkata pelbagai bentuk bantuan kewangan disalurkan secara berterusan dan bersasar.

“Antaranya ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), yang menyediakan bantuan bulanan selama 12 bulan kepada 100,000 orang penerima, dan bilangan ini dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta.

“Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan program bantuan di peringkat Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.

Menurut Hajiji, bagi mengurangkan beban kos utiliti, beberapa inisiatif telah dilaksanakan, antaranya Program Rebat Bil Elektrik RM40 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dengan eKasih serta pemberian diskaun 10 peratus ke atas bil elektrik Rumah Kebajikan, Rumah Ibadah dan Institusi Pendidikan Kerajaan dan Separa Kerajaan.

Selain itu, diskaun 10 peratus turut diberikan kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan sebagai langkah menyokong keterjaminan makanan dan kestabilan rantaian bekalan.

Pada masa yang sama, pelaksanaan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak diteruskan kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah untuk mengurangkan beban peniaga kecil-kecilan.

LEAVE A RESPONSE