Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kempen Turun Harga Bataras bantu rakyat, KPDN gesa lebih banyak syarikat tampil


Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengalu-alukan inisiatif sektor peruncitan seperti Kempen Turun Harga anjuran Bataras Sdn. Bhd. yang dilihat mampu membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen berkenaan menawarkan diskaun antara tiga hingga 70 peratus melibatkan kira-kira 9,000 item di semua rangkaian pasar raya Bataras di Sabah dan Labuan.

Menurutnya, program yang telah bermula pada 15 April lalu itu akan berlangsung sehingga 30 Jun 2024, sekali gus memberi lebih pilihan kepada pengguna mendapatkan barangan pada harga lebih rendah.

“Kerajaan amat mengalu-alukan ikhtiar seperti ini kerana ia sejajar dengan pendekatan ‘whole-of-nation’ dalam menangani isu kos sara hidup, iaitu bukan hanya melibatkan kerajaan, tetapi turut memerlukan penyertaan industri dan masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Kempen Turun Harga di Pasar Raya Bataras di sini, hari ini.

Bataras, sebuah syarikat tempatan yang diasaskan pada 1998 di Labuan, kini memiliki 58 cawangan di Sabah dan Labuan serta merancang menambah enam lagi cawangan tahun ini.

Mengulas lanjut, Armizan menyeru lebih banyak syarikat khususnya dalam sektor peruncitan untuk mencontohi usaha berkenaan, meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa.

Katanya, situasi global termasuk konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada rantaian bekalan dan harga barangan di pasaran.

“Konflik ini bukan sahaja menjejaskan bekalan tenaga, malah turut meningkatkan kos logistik dan premium insurans bagi penghantaran, sekali gus memberi tekanan kepada harga barang,” katanya.

Beliau berkata, kesan rantaian itu turut dirasai dalam sektor pengeluaran bahan pembungkusan seperti plastik yang berasaskan petrokimia.

“Apabila bekalan plastik berkurangan dan kos meningkat, ia secara langsung memberi kesan kepada harga barangan harian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama semua pihak termasuk pemain industri amat penting dalam memastikan usaha menstabilkan harga dan mengurangkan beban rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.

LEAVE A RESPONSE