CYBERJAYA : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai agar tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan berkaitan insiden tragis melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut akibat tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, ia termasuklah gambar atau video, yang memaparkan mangsa, pelajar lain, atau lokasi kejadian.
“MCMC merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan yang terlibat. MCMC menggesa semua pihak agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan,
“Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.
Menurut MCMC, perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, malah turut menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MCMC turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. – SABAH MEDIA