Read Time:1 Minute, 16 Second
KOTA KINABALU : Akademi Bola Sepak Jubilo (JFA) bersedia untuk memperkasa pembangunan bola sepak akar umbi di Sabah menerusi kerjasama strategik pengurusan bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Kerjasama ini dimeterai menerusi satu mesyuarat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Teknikal SAFA yang diketuai oleh pengerusinya, Rafie Datuk Robert, bersama barisan pengurusan tertinggi Jubilo yang dipimpin oleh pengerusinya, Syarulnizam Salleh Keruak.
Ketua Pegawai Operasi Jubilo, Saiful Azua Joe Datuk Golkhan, menyatakan keyakinan terhadap kerjasama tersebut dan melihatnya sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan bola sepak belia di negeri ini.
“Adalah menjadi harapan kami agar melalui kerjasama ini, Jubilo dapat melengkapi serta menyokong usaha SAFA dalam meningkatkan mutu bola sepak di Sabah, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Menurut beliau, pada masa ini Jubilo memberi tumpuan kepada pembangunan pemain berusia antara 7 hingga 16 tahun, dengan kira-kira 200 pemain muda berada di bawah program latihan akademi, sekali gus menjadikannya antara institusi bola sepak akar umbi paling aktif di Sabah.
Selain latihan teknikal, Jubilo turut menitikberatkan pembangunan holistik belia dengan menekankan pembentukan sahsiah, semangat berpasukan dan kepimpinan dalam kalangan pemain muda.
“Disiplin diri dalam kalangan pelatih amat penting, bukan sahaja dari aspek kecergasan fizikal, tetapi juga dari segi pemakanan dan rehat yang seimbang,” katanya.
Dalam pada itu, Jubilo turut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta bagi menyokong usaha mereka dalam meningkatkan standard bola sepak serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
“Kami sedang meneroka peluang kerjasama dengan jenama pakaian sukan, organisasi kecergasan, syarikat pemakanan serta pelbagai pihak korporat lain untuk memperkukuh lagi program kami,” tambahnya.






