Read Time:1 Minute, 10 Second
Oleh: Rhea Dharmin
BEAUFORT: Pelaksanaan menaik taraf jambatan Kampung Lubok, Weston bernilai RM5.6 juta dijadualkan bakal siap sepenuhnya pada bulan Ogos tahun hadapan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata projek yang bermula sejak beberapa bulan lepas itu telah mencapai sekitar 40 peratus.
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menjelaskan projek terbabit melibatkan pembinaan jambatan besi dengan dua laluan bagi menggantikan jambatan sebelum ini yang hanya mempunyai satu laluan sahaja.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembinaan jambatan itu telah mengalami kelewatan disebabkan pemindahan tiang elektrik berdekatan kawasan sekitar tapak projek.
“Ia (projek) sudah pun dimula beberapa bulan lepas, tetapi kita mengalami gangguan pemindahan kabel elektrik yang telah makan masa sehingga enam bulan menunggu kelulusan.
“Jadi di situ ia (pembinaan jambatan) terganggu sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di tapak projek, Isnin lepas.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya menyelesaikan beberapa masalah utama seperti masalah bekalan air dan kerja penyelenggaraan tangki penyimpanan air di kawasan terbabit demi keselesaan penduduk kawasan ini.
Selain itu, pihaknya juga melakukan kerja mendalamkan sungai Kampung Lubok berikutan golongan nelayan menghadapi masalah untuk melakukan kerja rutin mereka.
“Bila mereka (golongan nelayan) turun ke laut pagi, air sudah cetek dan mereka tidak dapat gunakan enjin bot untuk keluar… jadi mereka terpaksa mendayung dan tolak perahu.
“Tapi kini (sungai) kita sudah dalamkan sungai… boleh gunakan enjin bot terus ke laut,” katanya.