Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

MAKES perkukuh kepimpinan korporat, pacu transformasi GLC Sabah – Masidi


Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Penubuhan Majlis Ketua Eksekutif Sabah (MAKES) dilihat sebagai langkah strategik Kerajaan Negeri dalam menyatukan kepimpinan korporat serta memperkukuh peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi dan sosial Sabah.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata MAKES bukan sekadar platform pertemuan, sebaliknya menjadi mekanisme penting bagi menyelaras hala tuju, memperkukuh kerjasama serta memastikan setiap inisiatif memberi impak nyata kepada rakyat.

“Platform ini bukan sekadar pertemuan, tetapi satu titik permulaan kepada transformasi kepimpinan korporat negeri Sabah,” katanya sempena Program High Tea MAKES di sini, pada Selasa.

Menurutnya, penubuhan GLC di Sabah sejak awal dirangka sebagai instrumen strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor-sektor yang tidak diterokai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Selain itu, katanya, GLC turut berperanan memastikan pengagihan kekayaan yang lebih inklusif serta menyokong agenda sosial kerajaan melalui penyediaan perkhidmatan asas, pembangunan komuniti dan peningkatan taraf hidup rakyat.

“GLC tidak boleh dilihat sekadar entiti komersial yang mengejar keuntungan semata-mata, tetapi sebagai manifestasi peranan kerajaan sebagai pemacu ekonomi dan agen transformasi sosial,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran dalam ekosistem GLC dan agensi negeri yang perlu ditangani secara serius, termasuk penyimpangan daripada mandat asal, budaya kerja secara silo serta kekurangan kolaborasi strategik.

Masidi berkata, terdapat juga kecenderungan menilai kejayaan berdasarkan output semata-mata berbanding impak sebenar kepada rakyat, selain kebergantungan kepada sumber tradisional tanpa penerokaan inovasi baharu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan penubuhan MAKES adalah bertepatan dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem tersebut secara lebih bersepadu.

“MAKES berperanan sebagai penyatu kepimpinan korporat negeri, pemangkin kolaborasi strategik, penyelaras dasar dan pelaksanaan, serta platform perkongsian sumber dan kepakaran,” katanya.

Beliau turut menyifatkan MAKES sebagai pemacu kepada perubahan budaya kerja ke arah pendekatan lebih kolektif, kolaboratif dan bersepadu.

Dalam pada itu, Masidi menggariskan beberapa aspirasi utama kerajaan terhadap GLC dan agensi negeri, termasuk menjana sumber pendapatan baharu, meneroka pelaburan strategik serta industri masa hadapan.

Selain itu, beliau menekankan keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, khususnya kepada golongan belia, di samping mempercepatkan transformasi digital dan inovasi dalam operasi.

“Teknologi bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan asas. GLC perlu menjadi peneraju dalam adaptasi teknologi dan budaya inovasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh tadbir urus dan integriti bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti sentiasa terpelihara.

“Setiap keputusan dan pelaburan mesti berteraskan manfaat kepada rakyat, bukan sekadar pulangan kewangan, tetapi kesejahteraan menyeluruh,” katanya.

Masidi berkata Sabah kini berada pada titik penting dalam perjalanan pembangunan dan memiliki segala kelebihan termasuk sumber, institusi serta kepimpinan berkeupayaan.

“Saya yakin dengan komitmen bersama, kita mampu mengangkat peranan GLC dan agensi negeri ke tahap lebih tinggi selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE