Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Vivian Wong salur bantuan segera kepada mangsa kebakaran Kampung Mangkalinau

Read Time:1 Minute, 1 Second

SANDAKAN : Tragedi kebakaran yang memusnahkan 13 buah rumah di Kampung Mangkalinau baru-baru ini mendapat perhatian segera Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, yang bertindak pantas menyalurkan bantuan kepada keluarga terjejas.

Walaupun sedang bertugas di Parlimen, Vivian memastikan bantuan awal disalurkan melalui Pegawai Perhubungannya, Monelizah Mohd Tahir, yang turun padang ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan serta menyerahkan bantuan keperluan asas kepada mangsa.

Bantuan itu disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai langkah awal membantu meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

“Kita mahu pastikan setiap keluarga yang terkesan mendapat bantuan segera. Saya akan turun sendiri ke lapangan sebaik kembali ke Sandakan untuk mengenal pasti keperluan tambahan dan menyelaras bantuan susulan,” kata Vivian.

Beliau turut menegaskan bahawa Pusat Khidmat Parlimen Sandakan akan terus berkoordinasi rapat dengan JKM dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan semua mangsa menerima bantuan secara cepat, tersusun dan saksama.

Menurut rekod awal JKM, kira-kira 50 peratus daripada mangsa merupakan warganegara Malaysia, manakala punca kejadian masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam masa sama, masyarakat sekitar turut menunjukkan keprihatinan tinggi apabila tampil membantu menyediakan makanan, pakaian dan tempat berteduh sementara kepada mangsa — menggambarkan semangat kebersamaan komuniti Sandakan yang sentiasa bersatu ketika menghadapi musibah. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE