Read Time:1 Minute, 9 Second
TAWAU: Kumpulan Sawit Kinabalu terus memperkukuh penggunaan teknologi dan mekanisasi dalam operasi perladangan menerusi lawatan kerja Pengerusinya, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa ke Kompleks Balung di sini baru-baru ini.
Lawatan sempena Quarterly Management Committee Meeting (QMCM) itu memberi tumpuan kepada penilaian pelaksanaan teknologi terkini di lapangan, termasuk penggunaan jentera moden dalam aktiviti penuaian dan pembajaan.
Antara yang menjadi perhatian ialah penggunaan jentera ‘Elit’ berkuasa bateri yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja, malah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil selaras dengan agenda tenaga hijau.
Selain itu, teknologi ‘Verion’ yang dilengkapi sistem GPS dan kawalan elektrohidraulik turut diperkenalkan bagi memastikan ketepatan pembajaan, sekali gus meningkatkan hasil dan kualiti tanaman secara menyeluruh.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut meninjau Tapak Semaian Sungai Balung bagi melihat perkembangan anak benih serta memastikan standard pengurusan dipatuhi.

Hazem turut melawat Sawit Kinabalu Livestock Integrated Center (SKLIC) yang mengintegrasikan sektor ternakan dengan perladangan sawit, sebagai langkah menyokong keterjaminan bekalan makanan negara.
Turut menjadi fokus ialah lawatan ke kilang pemprosesan sawit di Apas Balung dan Seeds Production Unit (SPU), yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran serta penyediaan benih berkualiti tinggi.
Pada sebelah petang, beliau menghadiri Majlis Silaturrahim Aidilfitri Wilayah Tawau, sekali gus mengeratkan hubungan antara pengurusan tertinggi dan warga kerja.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Sawit Kinabalu dalam memodenkan sektor perladangan melalui inovasi teknologi, kecekapan operasi serta amalan mampan demi memastikan daya saing industri sawit Sabah terus kukuh.






