Read Time:1 Minute, 52 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Nilai kekeluargaan khususnya dalam kalangan ketua keluarga seperti bapa atau suami perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian rumah tangga terus terpelihara selain cabaran dunia digital masa kini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata, institusi berkaitan turut mempunyai peranan bagi membimbing masyarakat memahami tanggungjawab sosial serta menerapkan nilai-nilai murni dalam keluarga.
“Institusi keagamaan khususnya boleh membantu dengan sangat efektif dalam menanam pengertian nilai yang sepatutnya dipegang oleh ketua keluarga.

“Namun masyarakat kini berdepan pelbagai pengaruh baharu yang sukar dielakkan sepenuhnya. Bukan semua perkara boleh dielakkan 100 peratus.
“Kita terdedah kepada perkara baharu, khususnya melalui internet yang terlalu terbuka sehingga boleh mempengaruhi pemikiran dan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat di Wisma Wanita di sini pada Khamis.
Hadir sama Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal.
Julita berkata demikian bagi mengulas kes tular membabitkan seorang bapa yang dihukum penjara sehingga 165 tahun, yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berkata, kes itu disifatkan tidak sepatutnya berlaku terutama dalam keadaan dunia tanpa sempadan hari ini dimana individu sendiri perlu menentukan batasan yang wajar dalam kehidupan seharian.
“Persoalannya, di mana sempadan kita? Hakikatnya, kitalah yang menentukan sempadan tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan terhadap kes yang berlaku, beliau menegaskan bahawa sebarang kesalahan perlu diserahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan lanjut.
“Jika kesalahan telah dilakukan, kita serahkan kepada mahkamah. Namun, usaha pencegahan melalui kesedaran masyarakat perlu diperkukuh,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menekankan bahawa institusi keagamaan perlu tampil lebih aktif dalam membentuk masyarakat yang berpegang kepada nilai moral dan tanggungjawab kekeluargaan.
Semalam, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 165 tahun dan dikenakan sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dua anak kandungnya di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.
Tertuduh yang berusia 54 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suhaila Selag.
Sebelum itu, tertuduh didakwa atas 11 pertuduhan merogol dua anaknya dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman sebat sebanyak 10 kali bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Shahril Haja Mohaideen bersama pegawai penyiasat, Inspektor Malati Labpak. – SABAH MEDIA





