Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Sabah belum mencatatkan sebarang kes melibatkan cuaca panas, namun orang ramai diingatkan supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan situasi kekal terkawal.
“Justeru saya menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan, khususnya dengan memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan risiko dehidrasi.
” Selain itu, aktiviti luar juga disaran dikurangkan terutama pada waktu tengah hari ketika suhu berada pada tahap tinggi.
“Jika ingin melakukan aktiviti riadah atau bersukan, sebaiknya dilakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat .
Hadir sama Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal.
Julita berkata, orang ramai turut diingatkan agar sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal keletihan haba seperti pening, letih melampau dan kekurangan air dalam badan.
Menurutnya, langkah pencegahan awal dilihat penting bagi memastikan kesihatan kekal terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas yang sedang melanda ketika ini. – SABAH MEDIA






