Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Guna wang palsu di stesen minyak, lelaki mengaku tidak bersalah

Read Time:1 Minute, 0 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan tiga keping wang kertas RM50 palsu di sebuah stesen minyak, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Noor Hafizan Azlan, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.

Mohd Noor Hafizan didakwa menggunakan wang palsu sebagai tulen iaitu tiga keping wang kertas RM50 yang mempunyai nombor siri sama, FL1400605, antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi pada 19 Disember 2023 di Stesen Minyak Shell Golden Hill Enterprise, Jalan Pintas Donggongon.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 November ini bagi sebutan semula kes.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan antaranya terdapat risiko melarikan diri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis, manakala tertuduh diwakili peguam Jagnesh Jaya.

Sebelum ini, tertuduh telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan sama pada Januari 2024 dan dibenarkan diikat jamin.

Bagaimanapun, waran tangkap terpaksa dikeluarkan selepas tertuduh gagal hadir ke mahkamah.

Menurut pihak pendakwaan, tertuduh dibawa semula ke mahkamah hari ini bagi pelaksanaan waran tangkap tersebut.

LEAVE A RESPONSE