Read Time:3 Minute, 9 Second
SEMPORNA : Sebanyak 165 notis dan kompaun dengan nilai anggaran sebanyak RM680,250 dikenakan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasa dalam satu operasi bersepadu di daerah ini di sini semalam.
Operasi yang dikoordinasi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa termasuklah Polis: Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Komander ESSCOM Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi memastikan pematuhan aspek pelesenan premis pelancongan selain bertindak terhadap aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan dan imej sektor pelancongan di daerah Semporna.
Selain itu katanya, operasi itu turut memberi fokus kepada penguatkuasaan undang-undang melibatkan imigresen, perniagaan, pekerjaan, perkastaman serta kesalahan berkaitan hidupan liar dilindungi.
Beliau berkata, operasi yang melibatkan 269 pegawai dan anggota itu turut menyaksikan pemeriksaan mengejut terhadap 40 buah resort dan premis perniagaan di sekitar kawasan bandar serta perairan Semporna termasuk penempatan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seramai 38 individu telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut 28 individu dikenal pasti sebagai PATI.
“Kesemua individu yang ditahan akan diserahkan kepada JIM Semporna untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Victor berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati pelbagai kesalahan telah dikesan oleh Jabatan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat.
Beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 32 kompaun pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265], melibatkan kegagalan majikan mematuhi peruntukan berkaitan syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja.
“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan sembilan kompaun pelbagai kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777], manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengeluarkan 8 notis dan kompaun di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] berkaitan pematuhan pengendalian data peribadi.
“Majlis Daerah Semporna (MDS) turut mengeluarkan 33 kompaun pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Majlis Daerah Semporna yang dikuatkuasakan di bawah Local Government Ordinance 1961 (Sabah), melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, kegagalan mematuhi syarat pelesenan premis serta pelanggaran keperluan kesihatan dan operasi premis,” katanya.
Dalam pada itu, Victor berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengeluarkan 49 notis kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341], melibatkan kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan kebakaran seperti pili bomba, pengesan asap, alat penggera kebakaran manual, lampu kecemasan serta alat pemadam api di premis.
Menurutnya, dalam operasi yang sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai di bawah peruntukan Akta Kastam 1967 [Akta 235] dan Akta Eksais 1976 [Akta 176].
“Selain itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah turut merampas pelbagai hasil hidupan liar termasuk daging babi, kura-kura dan burung murai dengan nilai dianggarkan RM1,300 dan disyaki melanggar peruntukan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
” Jabatan Perikanan Sabah pula turut mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan aktiviti perikanan termasuk rampasan peralatan menangkap ikan (panah ikan),” katanya
Tambahnya,, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja di bawah Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP 1969) dan Seksyen 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (ASIP 2017).
Sementara itu, Victor berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan operasi tersebut serta semua jabatan dan agensi yang memberikan kerjasama padu.
” Kerjasama erat antara agensi ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di ESS Zone sentiasa terpelihara.
” Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI melalui Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada di bawah PDRM, ATM dan APMM selain membantu Jabatan/ agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam memastikan pematuhan undang-undang di ESS Zone,” katanya.






