Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SICC perkukuh peranan pacu ekonomi Sabah, teroka pasaran serantau


Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu ekonomi negeri dengan membuka akses lebih luas kepada pasaran serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk  Rosmawati Lasuki berkata, sepanjang tahun lalu SICC mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan penganjuran sebanyak 2,737 acara termasuk 989 acara antarabangsa.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi acara perniagaan yang semakin kompetitif di peringkat global.

“Namun, lebih penting daripada angka tersebut adalah maknanya, iaitu kerjasama yang lebih kukuh, hubungan serantau yang semakin erat serta keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri SICC 2026 di sini pada Rabu.

Rosmawati berkata, fokus SICC kekal jelas iaitu membina platform yang menghubungkan manusia, idea dan peluang, selain memposisikan Sabah bukan sekadar destinasi, tetapi sebagai rakan strategik dalam pertumbuhan serantau.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran sambutan seperti Aidilfitri memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk berinteraksi dalam suasana lebih santai dan bermakna.

“Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah membolehkan kita menghargai antara satu sama lain serta meraikan semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada kejayaan bersama,” katanya.

Mengulas perancangan akan datang, Rosmawati berkata SICC sekali lagi akan menganjurkan BigSabah Sale 2026 yang dijadual berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November depan.

Katanya, acara itu kini berkembang daripada sekadar pameran pengguna kepada platform strategik perdagangan dan interaksi serantau.

“Edisi tahun ini dijangka menampilkan lebih 650 reruai melibatkan pelbagai perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta jenama merangkumi sektor makanan gourmet, fesyen dan gaya hidup, kelengkapan rumah serta produk warisan tempatan,” katanya.

Tambah beliau, BigSabah Sale juga berperanan sebagai pintu masuk ke koridor pertumbuhan BIMP-EAGA yang mempunyai pasaran kira-kira 80 juta penduduk.

“Ia membuka peluang besar kepada perdagangan rentas sempadan, kemasukan pasaran serta pengembangan perniagaan di peringkat serantau,” katanya.

Beliau menegaskan, peranan SICC kini semakin berkembang bukan sahaja sebagai lokasi acara, tetapi sebagai platform yang memacu perdagangan, merangsang aktiviti ekonomi dan menghubungkan jaringan serantau.- SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE