Read Time:1 Minute, 23 Second
TAMBUNAN : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembahagian kerusi tersebut akan diumumkan secara rasmi pada Hari Penamaan Calon, menandakan kesiapsiagaan kedua-dua gabungan utama itu dalam menghadapi pilihan raya yang semakin hampir.
“Ya, kami sudah tahu (tapi) saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada Hari Penamaan Calon dan anda akan tahu bilangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GRS dan PH telah mencapai keputusan mengenai pembahagian kerusi bagi PRN ke-17 akan datang.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS akan melancarkan manifestonya selepas Hari Penamaan Calon.
“Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut yakin bahawa mandat rakyat akan dikembalikan kepada GRS-PH berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran selama lima tahun.
“Kami telah mencapai banyak kejayaan melalui pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat. Kami telah membawa pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.
“Kami telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan. Kami juga memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih.
“Kami turut mencatat kejayaan dalam industri minyak dan gas. Pembangkang cuba menafikan kejayaan ini, tetapi saya percaya rakyat kini matang dan akan menghargai pencapaian kami,” katanya.
Hajiji turut menyatakan bahawa Pilihan Raya Negeri kali ini akan lebih meriah dengan banyak parti politik telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.
“Marilah kita meraikan demokrasi,” katanya. – SABAH MEDIA