Read Time:2 Minute, 0 Second
RANAU: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sabah menunjukkan peningkatan positif apabila seramai 34,737 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) layak dianugerahkan sijil.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, jumlah itu meningkat seramai 2,236 orang berbanding 32,501 calon bersamaam 94.68 peratus pada SPM Tahun 2024.
“Bilangan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang menduduki peperiksaan SPM Tahun 2025 bagi negeri Sabah adalah seramai 182 orang.
“Berdasarkan jumlah tersebut, seramai 137 orang atau 75.27 peratus layak dianugerahkan sijil SPM Tahun 2025 berbanding dengan 131 orang atau 65.17 peratus pada SPM Tahun 2024. Angka ini menunjukkan peningkatan seramai enam orang 10.10 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Mohamad Ali di sini pada Selasa.
Raisin berkata, keputusan peperiksaan SPM 2025 dilaporkan berdasarkan pencapaian calon dan prestasi mata pelajaran.
Katanya, pencapaian calon merujuk sejauh mana calon menguasai pembelajaran dalam kesemua mata pelajaran yang diuji dan indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon negeri Sabah ialah Gred Purata Negeri (GPN).
“Sukacita saya memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, pencapaian calon SPM 2025 bagi negeri Sabah berdasarkan indeks GPN adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
“Nilai GPN SPM 2025 bagi negeri Sabah ialah 4.85 mata berbanding dengan 5.00 mata pada SPM Tahun 2024, iaitu mengecil sebanyak 0.15 mata,” katanya.
Sementara itu, Raisin berkata, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang semua gred A+ dalam semua mata pelajaran adalah seramai tiga orang pada SPM 2025 berbanding dengan enam orang pada SPM 2024.
Beliau berkata, bilangan calon yang memperoleh kombinasi gred A+, A dan A- pula seramai 605 orang atau 1.63 peratus pada SPM 2025 berbanding dengan 580 orang atau 1.64 peratus pada SPM Tahun 2024.
“Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 25 orang atau 0.01p peratus. Bilangan calon yang memperolehi sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 6,150 orang (16.61%) pada SPM Tahun 2025 berbanding dengan 3,437 orang (9.74%) pada SPM Tahun 2024. Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 2,713 orang (6.87%).
“Calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran adalah seramai 14,533 orang (39.24%) pada SPM Tahun 2025 berbanding dengan 13,265 orang (37.64%) pada SPM Tahun 2024. Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 908 orang (1.60%),” katanya. – SABAH MEDIA






