Read Time:1 Minute, 14 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Lebih 5,000 orang hadir memeriahkan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulangtahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Padang Merdeka di sini pada Isnin.
Antara kontinjen yang terlibat adalah daripada Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Rasmi; Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO); Persatuan Entik Sabah; Swasta serta Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.

Istiadat perbarisan bermula seawal jam 7.10 pagi apabila sebanyak lebih 60 buah kontinjen bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi mula memasuki Padang Merdeka.
Sejurus selepas itu, acara diteruskan dengan Tabik Hormat DiRaja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Tentera Darat Malaysia (TDM) kepada Tun Musa kira-kira jam 8 pagi.
Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang dimainkan Tambor TDM berserta tembakan meriam sebanyak 17 das yang diketuai oleh Mejar M Rohaizad M Nor.
Acara diteruskan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tun Musa dan kemudiannya memeriksa Perbarisan Kontinjen yang mengambil bahagian sambil diiringi oleh Panglima 5 Divisyen dengan menaiki kenderaan Istiadat.

Hadir sama pada upacara istiadat itu Isteri Tun Musa, Toh Puan Faridah Tussin; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Isteri, Datin Seri Juliah Salag serta menteri kabinet Kerajaan Negeri dan Persekutuan
Majlis diserikan lagi dengan acara Persembahan Khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) serta persembahan koir oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Selesai majlis istiadat perbarisan di Padang Merdeka, majlis diteruskan dengan upacara Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu. – SABAH MEDIA






