Read Time:1 Minute, 18 Second
SANDAKAN : Keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat terus dizahirkan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, George Hiew Vun Zin, apabila beliau mengambil langkah segera menyediakan tandas awam sementara di Pasar Tanah Merah Karamunting bagi kemudahan peniaga dan pengunjung.
Lawatan beliau ke pasar berkenaan baru-baru ini bukan sekadar tinjauan biasa, sebaliknya bukti kepimpinan berjiwa rakyat apabila beliau meluangkan masa beramah mesra, mendengar sendiri aduan serta pandangan peniaga mengenai keperluan kemudahan asas di kawasan tersebut.
“Saya amat menghargai para peniaga yang sudi berkongsi pandangan dan memberi maklum balas secara terbuka. Semua aduan akan diteliti dan tindakan akan diambil demi keselesaan rakyat serta kemajuan DUN Karamunting,” katanya ketika ditemui.
Tindakan pantas menyediakan tandas awam sementara itu disambut baik oleh para peniaga yang menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan serta kecekapan beliau menangani masalah komuniti.
Mereka menyifatkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting itu sebagai pemimpin yang menepati janji, tidak hanya berkata-kata tetapi bertindak, malah sering turun ke lapangan meninjau keperluan rakyat tanpa mengira masa atau keadaan.
Pasar Tanah Merah Karamunting merupakan antara pusat tumpuan utama masyarakat sekitar Sandakan untuk mendapatkan hasil laut, sayur-sayuran serta barangan keperluan harian.
Dengan penambahbaikan kemudahan awam yang dilaksanakan, suasana pasar kini lebih selesa dan mesra pengguna.
“Kita mahu peniaga dan pengunjung menikmati persekitaran yang bersih dan kondusif. Apabila rakyat selesa, ekonomi tempatan juga akan berkembang,” tambah beliau.
Langkah kecil ini, katanya, adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memastikan kemudahan awam di kawasan Karamunting terus dipertingkat, seiring dengan aspirasi kerajaan Gagasan Rakyat Sabah untuk membina komuniti yang makmur dan sejahtera. – SABAH MEDIA